Seorang pemimpin dan ulama PAS membayangkan parti itu dan Umno dapat menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, sehari selepas mereka kalah di Seri Setia.
Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata untuk mencapai tujuan itu kedua-dua parti perlu lebih "dekat" dan usaha ke arah itu perlu diteruskan.
Malah Mokhtar menggambarkan proses berkenaan tidak sepatutnya rumit.
"Secara peribadi saya fikir usaha mendekatkan kedua-dua buah parti ini (PAS dan Umno) hendaklah diteruskan.
"Jurang antara keduanya tidak lebar. Cuma memerlukan sedikit jalin gabung yg membolehkan wujud permuafakatan dan taawun di atas titik Islam," katanya di Facebook.
Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang turut menyarankan pemimpin parti itu jangan lagi mempedulikan tuduhan bahawa parti itu mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.
"Jika Umno menerima kepentingan Islam itu sebagai titik penyatu dan kerjasama, maka PAS wajib menerima kehadiran Umno. Pedulikan tuduhan UG (unity government) dan sebagainya," katanya lagi.
Kalah pun dapat pahala
PAS dan Umno kini tidak berselindung lagi mengadakan kerjasama politik walaupun mereka sebelum PRU ke-14 dulu bertegas menafikan mempunyai kaitan dengan antara satu sama lain.
Sebelum 9 Mei, Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan dan PAS bertegas mereka masih sebuah parti pembangkang.
Bagaimanapun BN berjaya ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) dan membawa Umno kini menjadi pembangkang. Pada masa sama PAS kekal sebagai pembangkang kecuali di Kelantan dan Terengganu.
Baca PAS: Keputusan PRK Seri Setia tanda parti kian diterima
Hubungan kedua-dua parti mula akrab secara terbuka apabila pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu. Ia berkembang menjadi lebih mesra dan senada apabila PRK Seri Setia dan Balakong terpaksa diadakan ekoran kekosongan mengejut di kedua-dua kerusi tersebut.
Pembangkang kemudian gagal merampas ketiga-tiga kerusi tersebut daripada dimenangi HARAPAN.
Menurut Mokhtar PRK Seri Setia - yang diadakan pada 8 Sept lalu - wajar dijadikan titik permulaan kerjasama PAS dan Umno demi Islam.
"Jika kerjasama itu benar-benar dapat dibangunkan, saya yakin Putrajaya dapat dirampas kembali daripada tangan HARAPAN," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai kekalahan di Seri Setia, Mokhtar berkata PAS tidak pernah terkesan dengan keadaan itu, malah mereka tetap bersemangat walaupun mengalaminya sejuta kali.
"Apa perlu diratapi sebuah kekalahan jika dalam kekalahan itu memperolehi pahala persis ketika memperolehi kemenangan?" katanya.
Mokhtar juga mendakwa tidak semua orang memahami semangat dan kegigihan anggota PAS dalam perjuangan mereka.
"Sesungguhnya masih banyak perkara memgenai PAS yang gagal difahami oleh orang yang berada di luar PAS," katanya.