Seorang staf wanita kedai cermin mata membuat laporan polis terhadap lelaki yang mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang didakwa merakam dari bawah skirt wanita berkenaan.
Dalam sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 8 September 2018 di sebuah kedai cermin mata, seorang wanita dilihat sedang memeriksa mata Azis Jamman dengan seorang lelaki lain duduk di belakang wanita itu.
Lelaki yang mengiringi Azis itu kemudian dilihat menggunakan telefon bimbitnya seakan membuat rakaman dari bawah skirt wanita berkenaan.
Insiden berkenaan dikatakan terjadi di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Malaysiakini turut melihat laporan polis yang dibuat di balai polis daerah Sentul semalam.
Dalam laporan itu, wanita yang berumur lingkungan 30-an itu mendakwa suspek datang ke kedainya bersama Azis kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama untuk membuat pemeriksaan mata.
Jelas wanita itu, laporan itu dibuat kerana berasa malu dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan.
Laporan itu menyebutkan nama Azis namun tidak menyebutkan nama lelaki yang mengiringi anggota parlimen Sepanggar itu.
Azis bertanding di bawah Parti Warisan Sabah dan mengalahkan calon Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada pilihan raya umum lalu.