WAWANCARA | Belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak lama lagi mungkin bukan sesuatu yang akan memberi khabar gembira dan janji-janji indah seperti sebelum ini.
Itu yang digambarkan perdana menteri semasa ditemui Malaysiakini baru-baru ini.
Kata Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan perlu bercermat semasa menguruskan kewangan dan berbelanja untuk negara.
"Ya, (kali ini) belanjawan kena korbanlah. Semua kena berkorban," katanya pada sesi wawancara dengan Malaysiakini dan Sinar Harian di pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis lalu.
Populariti dan sokongan rakyat kepada HARAPAN sekali lagi akan diuji semasa Belanjawan 2019 dibentangkan di Dewan Rakyat - dijadual pada 2 Nov ini.
Tidak seperti selalu belanjawan kali ini disediakan dan akan dibentangkan oleh seorang menteri yang sebelum ini pemimpin pembangkang.
Seperti kelaziman, pembangkang begitu lantang mengkritik sesuatu belanjawan yang disediakan kerajaan BN. Namun perubahan dibuat pengundi pada 9 Mei lalu membawa HARAPAN membentuk kerajaan sekali gus menolan BN daripada kuasa Putrajaya serta sebahagian besar negeri di Malaysia.
Lihat pada Greece
Selepas membentuk kerajaan, HARAPAN mendakwa hutang ditanggung negara hasil tinggalan BN melebihi RM1 trilion - jauh lebih tinggi berbanding apa yang mereka umumkan.
Justeru kerajaan merangka pelbagai polisi bagi mengekang tanggungan tambahan dan menyelamatkan wang negara.
Kata Dr Mahathir kerajaan tidak ada pilihan kecuali terus berjimat-cermat sesuai dengan pendapatan negara.
"Kita tidak boleh berbelanja lebih banyak berbanding pendapatan.
"Untuk diri kita sendiri pun, kalau kita berbelanja lebih daripada kemampuan, kita akan terikat dengan hutang dan sebagainya.
"Sebab itu kita tidak boleh layan macam-macam permintaan," katanya.
Beliau yang sebelum ini turut pernah menyandang jawatan menteri kewangan menambah, tanpa perbelanjaan yang cermat serta pengorbanan semua pihak keadaan negara mungkin akan menjadi lebih teruk.
Namun katanya ia tidaklah seteruk langkah yang diambil oleh kerajaan Greece yang mengalami masalah keruntuhan ekonomi sebelum ini.
"Kalau kita tak sanggup terima keperluan berkorban, maka kita tak boleh pulihkan negara kita," katanya.
- Temu bual ini dijalankan bersama oleh Zikri Kamarulzaman, Haris Mohd, Lu Wei Hoong, Norman Goh dan wakil Sinar Harian.