Seorang aktivis masyarakat hari ini mencadangkan supaya hukuman sebat syarie diadakan di tempat tertutup seperti di dalam kamar atau di penjara bagi mengelak implikasi buruk terhadap Islam.
Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali bimbang pelaksanaannya di kawasan terbuka seperti di stadium dengan kehadiran ramai orang boleh mencetuskan kekecohan sehingga mengundang huru-hara.
Katanya masyarakat Islam juga tidak perlu terlalu taksub agar hukuman itu dijalankan di khalayak ramai sehingga menyebabkan orang bukan Islam takut kepada agama itu.
"Di segi Islam, hukuman yang dikenakan adalah bersifat mendidik dan bukannya mahu menganiaya pesalah. Cukuplah sekadar dilakukan di tempat tertutup sahaja," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azmi berkata walaupun hukuman sebat syarie yang dijatuhi mahkamah syariah lebih 'ringan' berbanding hukuman sebat mahkamah sivil, namun dibimbangi ia akan diputarbelitkan oleh golongan tertentu untuk memulakan kekacauan.
Kabinet, menerusi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan pandangan bahawa adalah penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis dengan hukuman berat menanti umatnya yang melakukan kesalahan.
- Bernama