Seorang lagi tok batin di Cameron Highlands memberitahu Mahkamah Pilihan Raya bahawa dia menerima habuan BN menjelang pilihan raya umum Mei lalu.
Norman Kong dari kawasan Jelai berkata dia menerima wang tunai RM550, dalam dua kali pemberian, dan kad sim telefon.
Pemimpin Orang Asli kampung Pos Sinderut, Kuala Lipis itu mendakwa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberikan wang itu melalui seorang individu.
Bagaimanapun, katanya, pemberian itu disaksikan sendiri oleh Wan Rosdi dan anggota parlimen Cameron Highlands MP C Sivarraajh.
Wan Rosdy kini menjadi menteri besar baru Pahang.
Norman membuat pengakuan itu ketika memberi keterangan bagi pihak calon DAP Cameron Highlands M Manogaran yang memfailkan petisyen pilihan raya.
Semalam, tok batin Harun Siden memberitahu Mahkamah Pilihan Raya bahawa Wan Rosdy dan Sivarraajh telah menyaksikan pemberian RM300 seorang kepada tujuh tok batin, termasuk dirinya, tiga hari sebelum mengundi.
Sementara itu, ketika disoal peguam Manogaran, K Shanmuga, Norman berkata Wan Rosdy dan Sivarraajh berkata datang ke beberapa kampung pada 30 April dan 6 Mei.
Manogaran memohon mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu atas alasan ia dicemari amalan rasuah.
Sivarraajh menang tipis dengan majoriti 587 undi dalam pertembungan lima penjuru dengan calonBN, PAS, Parti Sosialis Malaysia dan BERJASA.
Pendengaran kes akan bersambung lagi esok di hadapan hakim Datuk Azizah Nawawi.