Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese berkata beliau tidak terkejut dengan pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah.
Dalam satu kenyataan, Varughese berkata bahawa bukan tidak lazim bagi Jabatan Peguam Negara untuk menerima representasi yang dibuat oleh peguambela, dan adalah terpulang kepada pendakwa raya untuk mengugurkan tuduhan.
"Ia adalah hak mutlak pendakwa raya di mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman untuk menghentikan dakwaan menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
"Ia juga bukan tidak lazim bagi peguam yang mewakili tertuduh untuk membuat representasi kepada AGC bagi memohon kes ditarik balik dan / atau mengurangkan dakwaan yang dikenakan ke atas anak guam mereka.
"Dan secara lazim AGC menerima representasi ini," katanya.
Varughese juga berkata Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menjelaskan bahawa tidak terdapat bukti yang mencukupi bagi meneruskan kes dengan mengetahui ia tidak akan berjaya pada akhir pendakwaan.
"Justeru, adalah tidak 'mengejutkan' untuk Timbalan Pendakwa Raya (Hanafiah) untuk menarik balik dakwaan seperti yang dicadangkan oleh SPRM," katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
Keputusan itu dibuat selepas Pejabat Peguam Negara menerima representasi daripada peguam Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang dituduh bersubahat dengannya untuk mendapatkan banglo sebagai ganti pertukaran status tanah.
Timbalan pendakwa raya memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan, namun hakim memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim daripada tuduhan berkenaan.
Kedua-dua SPRM dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian melahirkan rasa "terkejut" mereka dengan keputusan mahkamah.
Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah itu tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi SPRM.