Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Wang diberi depan MB Pahang, calon BN sebelum mengundi'

Tok batin Harun Siden memberitahu Mahkamah Pilihan Raya bahawa menteri besar baru Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh menyaksikan pemberian RM300 seorang kepada tujuh tok batin, termasuk dirinya.

Harun berkata pemberian itu dibuat tiga hari sebelum mengundi.

Saksi kedua kepada calon DAP M Manogaran itu berkata wang daripada Sivarraajh itu diedarkan pihak lain kepada tok batin.

"Wan Rosdy dan Sivarrajh naik helikopter dan mendarat dekat Kampung Tual dan Kampung Sinderut untuk menghadiri sukaneka pada 6 Mei,” katanya.

“Ketika wang itu diberikan Wan Rosdy dan Sivarrajh berada di situ,” katanya.

Harun mendakwa wang itu adalah dorongan supaya Orang Asli mengundi BN.

Dia berkata demikian menjawab soalan K Shanmuga yang mewakili Manogaran.

Selain itu, Harun berkata dia ada mendengar bahawa wang sebanyak RM9,300 diberikan kepada seseorang yang Ahchah untuk diedarkan kepada Orang Asli RM50 seorang sebelum hari mengundi.

“Saya terima tambahan RM50 (dari Achah) dan diberikan resit dengan nombor siti menyatakan pusat mengundi dan logo dacing BN.

“Sivarraajh beritahu kami dia muda dan boleh kerja keras untuk membangunkan masyarakat Orang Asli. Wan Rosdy beritahu kami 'Makan BN, mandi BN, tidur BN'.”

Wan Rosdy ialah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, tempat di mana Harun tinggal.

Manogaran mendakwa BN menjadikan amalan rasuah berleluasa di kalangan Orang Asli.

Perkara itu, katanya, menyebabkan dia gagal mendapat jumlah undi sepatutnya dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, sekali gus menyebabkan kekalahannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS