Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan aktivis politik, Hishamuddin Rais mereka-reka cerita berkenaan pembentukan kerajaan pada Mei lalu dan dakwaan terdapat usaha menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
“Dia ahli cereka. Jadi dia ada tafsiran sendiri dia dengar, dia tidak ada sumber terus. Dia hanya dengar-dengar bisikan tetapi bisikan itu tengoklah daripada siapa sokong tidak sokong,” kata Anwar ketika bercakap di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Kuala Lumpur semalam.
Dengan menggunakan bahasa keras, Anwar berkata tiada masalah bagi mana-mana pihak menyuarakan pandangan tetapi ia perlu berdasarkan fakta.
“Kadang-kadang dalam politik kita ini menulis membantah menyerang keras, ada yang penjilat keras. Bila menulis jangan jadi penyerang yang ganas tiada fakta atau penjilat.
“Bagi saya kita bagi ruang pandangan masing-masing menafsirkan. Jangan kita marah sangat. Setuju atau tidak setuju itu pandangan masing-masing. Tiada masalah,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.
Hishamuddin dalam kolum terbarunya di Malaysiakini berjudul 'Merakam Sejarah: Disailang lagi' mendakwa wujud usaha menyekat Mahathir daripada menjadi perdana menteri sejak Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 9 Mei.
Baca: Merakam sejarah: Disailang lagi
Dalam tulisan bersiri itu, Hishamuddin mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak bersetuju dengan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Beliau juga mendakwa Wan Azizah dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 11 Mei lalu berkeras agar naib presiden PKR, Rafizi Ramli dilantik ke jawatan berkenaan. Wan Azizah memulaukan mesyuarat apabila Mahathir enggan memenuhi tuntutan agar Rafizi dilantik ke jawatan tersebut, dakwa Hishamuddin.
Sebaliknya HARAPAN mengumumkan pelantikan tiga jawatan menteri kanan iaitu Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.
Rafizi pada hari yang sama mendakwa pelantikan berkenaan dibuat tanpa rundingan dengan PKR.
Beliau yang tidak bertanding dalam mana-mana kerusi parlimen pada PRU lalu kini mencabar Datuk Seri Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu.
Dalam kenyataan terbarunya, Rafizi berkata beliau berbuat demikian untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.