Siasatan terhadap skandal 1MDB sudah mencapai tahap 60 peratus, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata buat masa ini penyiasat daripada agensi antirasuah berkenaan sudah hampir selesai mengumpul maklumat serta bahan bukti yang ada di dalam negara.
Pada masa sama kata Azam penyiasat SPRM masih mengumpulkan maklumat berkaitan skandal berkenaan yang ada di luar Malaysia.
"(Siasatan) kami hampir 60 peratus selesai.
"Kami masih perlu mengumpul bukti dan merakamkan keterangan dari negara lain. Beri kami masa," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Azam antara negara yang perlu dilihat SPRM dalam usaha mereka melengkapkan siasatan kes berkenaan ialah AS dan Singapura.
"SPRM memerlukan lebih masa kerana siasatan ini melibatkan banyak negara," katanya.
Terdahulu Azam mengadakan sidang media mengenai penemuan jutaan wang tunai dalam mata wang dolar AS hasil siasatan SPRM terhadap sejumlah pegawai agensi perisikan kerajaan.
Menurut Azam, masa lebih lama juga diperlukan SPRM bagi mendapatkan maklumat berkainan 1MDB di luar negara kerana kertas siasatan mengenainya hanya dibuka semula beberapa bulan lalu.