Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peristiwa 'mata lebam' cerita lama, kata Rahim Noor

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor berkata peristiwa "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 tidak relevan dalam pelantikannya sebagai fasilitator rundingan damai wilayah selatan Thailand.

Menyifatkan ia sebagai peristiwa lama, beliau percaya kerajaan memilihnya atas peranannya ketika rundingan damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989.

Rundingan itu menyaksikan PKM menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand - dinamakan sebagai Perjanjian Hat Yai - menamatkan pemberontakan lebih 40 tahun.

"Apa yang berlaku pada waktu itu (peristiwa mata lebam), waktu itulah. Tidak relevan untuk dia (Nurul Izzah) mengaitkannya dengan pelantikan saya.

"Melainkan keputusan untuk melantik saya dibantah pihak berkuasa Thai atau MARA Pattani (wakil beberapa kumpulan militan disana). Setakat ini, daripada maklum balas yang saya terima, tiada yang menunjukkan bantahan mereka.

"Dua pihak inilah yang penting dalam proses damai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pagi ini, Nurul Izzah menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Rahim yang disifatkannya sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

Izzah merujuk kepada Anwar yang diserang ketika dalam tahanan polis selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998. Gambar mata lebamnya menjadi salah satu simbol gerakan Reformasi.

Ia berikutan laporan menyatakan Rahim akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim untuk peranan itu.

Rahim yang menjadi IGP antara 1994 hingga 1999 berkata reaksi seumpama itu sudah dijangka daripada seorang ahli politik.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga mungkin memilihnya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan dalam soal keselamatan dan sempadan.

"Dulu kita berjaya menyelesaikan masalah PKM yang bercokol di Selatan Thailand melalui rundingan damai. Tahun depan adalah ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai.

"Dan kini ada satu lagi masalah di sempadan - konflik antara orang Melayu dengan kerajaan Thai - yang berlaku di bahagian selatan. Saya percaya kerajaan beri saya peranan ini kerana pengalaman saya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS