Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Nurul Izzah hanya kira pasal mata lebam bapa dia saja’
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Tan Sri Zainuddin Maidin mempertahankan bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berikutan bantahan terhadap pelantikannya sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand.

Sambil menjadikan Naib Presiden PKR Nurul Izzah, sebagai sasarannya, beliau berkata, anak Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengambil berat tentang “mata lebam” ayahnya.

“Dia hanya kira pasal mata lebam bapa dia sahaja. Jasa lebih besar Rahim Noor jayakan rundingan damai PKM Malaysia dan Thai untuk kepentingan rakyat dia tak nampak.

“Tak payahlah korek luka lama,” kata bekas menteri penerangan itu, yang lebih dikenali sebagai Zam.

Terdahulu, Nurul Izzah membantah keputusan kerajaan yang melantik Abdul Rahim bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).

Menulis di Twitter, beliau menyifatkan Rahim sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

"Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari - serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

"Kemudiannya, berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu," katanya.

Anwar dibelasah semasa dalam tahanan polis selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang adalah perdana menteri ketika itu tidak menolak kemungkinan bahawa timbalannya sengaja mencederakan diri sendiri tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kemudian mendapati bahawa Rahim yang menyerangnya.

Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi perdana menteri, pada mulanya mencadangkan kecederaan itu boleh dilakukan sendiri, tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kemudian mendapati bahawa Rahim telah menyerangnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS