Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nurul bantah bekas IGP dipilih sebagai fasilitator keamanan
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 12:39 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, membantah keputusan kerajaan yang melantik bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses keamanan di selatan Thailand.

Menulis di Twitter, beliau menyifatkan Rahim sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

"Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari - serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

"Kemudiannya, berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu," katanya.

Nurul merujuk kepada peristiwa “mata lebam” apabila bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul ketika dalam tahanan polis selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan bahawa timbalannya itu sengaja mencederakan diri sendiri tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kemudian mendapati bahawa Rahim yang menyerangnya.

Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).

Mengulas kenyataan Nurul Izzah, pakar strategi BERSATU, Rais Husin bersetuju dengannya.

"Kita semua mesti bersama dengannya. Kerajaan mesti membatalkan pelantikan ini dengan segera," katanya.

Terdahulu, ahli parlimen Rembau,Khairy Jamaluddin menyifatkan pelantikan bekas IGP itu sebagai peristiwa "mata hitam" untuk Malaysia.

"Saya mungkin di pihak yang bertentangan tetapi tunjuk sedikit rasa hormat kepada bakal perdana menteri kamu," kata Khairy merujuk kepada persetujuan Pakatan Harapan bahawa Anwar bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

"Tidak berhati perut dan keji,” ciapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS