Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas IGP dilantik fasilitator baru rundingan damai Selatan Thai

Thailand dan Majlis Syura Pattani (MARA Pattani) belum dimaklumkan secara rasmi oleh Kuala Lumpur mengenai pelantikan bekas ketua polis negara (IGP), Tan Sri Abdul Rahim Noor, sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai wilayah selatan Thailand.

Abdul Rahim, yang berkhidmat sebagai KPN kelima dari 1994 hingga 1999, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang memegang 'kerusi panas’ itu untuk beberapa tahun.

“Belum lagi...mereka (kerajaan Malaysia) tidak memaklumkan secara rasmi kepada kami, ia merupakan isu dalaman bagi Malaysia,” kata Ketua Majlis Keselamatan Negara (MKN) Thailand, Jeneral Wanlop Raksanor kepada Bernama ketika ditanya mengenai pelantikan tersebut.

Beliau berkata ia terpulang kepada Malaysia apabila tiba masa untuk memaklumkan kepada Thailand mengenai pelantikan Abdul Rahim.

Jeneral Wanlop juga menolak spekulasi media bahawa ketua panel rundingan damai kerajaan Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol akan disingirkan.

Beliau berkata bekas ketua staf Angkatan Tentera Darat Diraja Thailand itu akan meneruskan tugasnya dan mengetuai panel rundingan damai kerajaan itu.

“Sekarang, ketua dialog damai Thailand masih lagi Jeneral Aksara dan pada masa akan datang, orangnya pun sama,” katanya.

Thailand tiada masalah fasilitator baru M'sia

Perkara berkaitan rundingan damai selatan Thailand adalah secara langsung di bawah perhatian Perdana Menteri, JeneraL Prayut Chan-o-cha dan MKN Thailand.

Kuala Lumpur telah beberapa kali menghoskan rundingan damai antara wakil kerajaan Thailand dan MARA Pattani, yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand, untuk mencari resolusi bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand yang telah mengorbankan lebih 7,000 orang sejak tercetus pada 2004.

Sementara itu, Jeneral Aksara, ketika dihubungi, turut berkata beliau belum dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu tetapi menyatakan keputusan pelantikan fasilitator baharu adalah hak Malaysia.

“Keputusan untuk mengubah fasilitator adalah berkaitan dengan negara jiran dan kita tidak mempunyai masalah dengan perubahan itu," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap MARA Pattani, Abu Hafez Al-Hakim, ketika dihubungi Bernama, turut menyatakan bahawa organisasi itu belum dimaklumkan mengenai fasilitator baharu tetapi mendakwa mereka mengetahui pelantikan Abdul Rahim melalui saluran tidak rasmi.

MARA Pattani akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkembangan terbaru itu, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS