Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: Langkah satu logo tak menjadi di Pantai Timur, kata Dr M

WAWANCARA | Tinjauan Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan tahap sokongan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pentadbirannya di tahap yang baik, iaitu masing-masing pada kadar 62 peratus dan 58 peratus.

Ia bagaimanapun bertentangan dengan anggaran yang diyakini ramai - iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya mendapat kira-kira 30 peratus undi Melayu pada PRU ke-14.

Dengan mengambil kira rating terkini itu, Mahathir berpandangan partinya BERSATU - yang menang 13 daripada 52 kerusi Parlimen
yang ditandinginya di Semenanjung - mampu mencatatkan prestasi yang lebih baik jika dibenar menggunakan logo sendiri.

Walaupun keputusan HARAPAN untuk menggunakan logo PKR - sebuah parti pelbagai kaum - membuahkan hasil di pantai barat, ia tidak memberi kesan serupa di pantai timur.

"Masalahnya adalah kita sepatutnya bertanding menggunakan logo HARAPAN tetapi tidak boleh. Kita terpaksa guna logo PKR. Faktor ini agak menutup keberadaan (presence) calon parti kita.

"(BERSATU) adalah parti Melayu dan orang Melayu di kerusi luar bandar dijangka akan mengundi parti Melayu. Bagi mereka yang menolak untuk mengundi Umno...mereka nampak PAS," katanya yang merupakan pengerusi BERSATU.

Beliau berkata PAS akhirnya yang mendapat manfaat kerana ia dilihat sebagai parti Melayu alternatif kepada Umno.

"Orang Melayu di pantai timur - masyarakat yang sangat konservatif - mereka buat keputusan perlu undi parti Melayu. (Oleh kerana) mereka tak boleh undi Umno, mereka undi PAS.

"Inilah sebabnya mengapa PAS, yang tidak pernah menang sebegitu banyak kerusi (di pantai timur) sebelum ini, menang kali ini hanya kerana sentimen itu.

"Tetapi sukar untuk mereka memilih (kita) kerana mereka tidak tahu (BERSATU yang merupakan parti Melayu) bertanding bawah logo PKR," katanya lagi.

HARAPAN memilih logo PKR susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) membubarkan BERSATU buat sementara dan tidak meluluskan pendaftaran HARAPAN sebagai gabungan rasmi.

Kedua-dua isu itu sudah diselesaikan selepas PRU ke-14.

Sementara itu, Mahathir tidak setuju dengan tanggapan BERSATU dan AMANAH "terlebih wakil" dalam lantikan kabinet jika dipadankan
dengan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi dua parti itu.

"Parti saya (BERSATU) bukan yang terbesar. Parti terbesar adalah Keadilan (PKR), kemudian DAP," kata Mahathir.

PKR dan DAP menguasai 73.6 peratus daripada 125 kerusi Parlimen tetapi hanya menduduki 50 peratus komposisi kabinet.

Namun, ia dipercayai sudah ditetapkan bagi menjamin kabinet mewakili komposisi etnik dan wilayah di Malaysia.

Mahathir merasakan akar umbi masih merasakan partinya tidak mempunyai wakil yang cukup dalam kabinet.

"Tetapi kita tidak kisah. Orang boleh anggap parti ini kurang wakil tetapi asalkan kita boleh bekerja dengan orang lain," katanya lagi.


Artikel sebelumnya

Projek China: Kalau boleh batal, jika tak dapat kita tangguh

Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh

PM 'perah otak' fikir cara bayar hutang pembayar cukai

Mengapa Dr M tetap pertahan kereta nasional ketiga


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS