Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jemaah M'sia pulang ke Mekah lepas lontar jamrah

Hampir kesemua jemaah haji Malaysia selamat tiba di hotel penginapan masing-masing di Mekah selepas menunaikan ibadat melontar jamrah bagi ketiga-tiga hari tasyrik berakhir 13 Zulhijjah yang merupakan salah satu daripada syarat wajib ibadah haji.

Setibanya di Makkah, para jemaah akan melaksanakan satu lagi rukun ibadah haji iaitu tawaf dan saie haji untuk mendapat tahallul thani bagi melepaskan diri dari baki tiga larangan ihram, selepas mendapat tahallul awwal yang membebaskan mereka dari 10 larangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pada tahun ini, lebih dari separuh jemaah haji mengambil nafar awwal dengan hanya melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik dan telah bergerak pulang ke Makkah pada Khamis.

"Seramai 16,200 orang dari jemaah kita telah melakukan nafar awwal dan selebihnya melakukan nafar thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik) dan Tabung Haji mula mengambil jemaah kita dari Mina pada jam 7 pagi," beliau memberitahu sidang media di Mekah, hari ini.

Beliau berkata kumpulan jemaah yang melakukan nafar awwal ini terdiri daripada kumpulan yang pulang lebih awal berbanding jemaah Malaysia yang melakukan nafar thani.

"Kepulangan jemaah haji kita ke Makkah esok menandakan bahawa operasi masyair TH bagi musim haji kali ini berakhir dan kesemua jemaah di jangka akan tiba di sini menjelang tengah hari (waktu tempatan)," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS