mk-logo
Berita
PM 'perah otak' fikir cara bayar hutang pembayar cukai

WAWANCARA l Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk sekali lagi bertanding dalam pilihan raya, beliau melakukannya dengan berjanji, antara lain, untuk membetulkan keadaan hutang negara.

Tetapi hanya apabila pentadbiran baru Mahathir menyemak penyata akaun dan kedudukan kewangan negara, mereka mendapati bahawa kerajaan persekutuan berhutang lebih daripada sekadar meminjam daripada pemiutang - mereka juga berhutang dengan pembayar cukai.

Pertama, terdapat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion yang tidak dapat dibayar oleh jabatan kastam. Kemudian terdapat RM16 bilion pengembalian cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah, yang tidak dibayar sepanjang lebih daripada enam tahun.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi semakin jengkel apabila beliau bercakap mengenai usaha pasukannya untuk membina semula kerajaan yang telah dirosakkan kecekapan dan kebekersanannya sebagaimana pembongkaran satu demi satu lubang kebocoran kewangan negara.

Beliau menjelaskan bagaimana "orang bodoh" daripada pentadbiran terdahulu telah menandatangani perjanjian buruk dengan China yang menimbunkan hutang negara.

Mahathir menyebut pentadbiran terdahulu mengutip cukai secara bersungguh-sungguh tetapi liat untuk memulangkan wang bayaran balik pembayar cukai, yang kini mesti diselesaikan.

"Mereka melakukan pelbagai perkara yang salah. Sebagai contoh, mereka mengutip cukai pendapatan dengan berlebihan dan sekarang kita tahu bahawa terdapat RM16 bilion dikumpulkan yang (sepatutnya) tidak kena dibayar. Sekarang kita perlu bayar (balik kepada pembayar cukai).

"Mereka tidak peduli jika mereka memenangi pilihan raya. Mereka tidak akan membayar orang-orang ini. Mereka tidak peduli," tegas Mahathir.

Secara keseluruhannya, bayaran balik cukai adalah berjumlah RM35.2 bilion - kira-kira 2 peratus daripada KDNK - yang mana Mahathir berkata pentadbirannya berhasrat untuk membayar balik.

"Kita perlu melakukan perkara yang betul.

"Kami mempunyai kewajipan untuk menghormati kata-kata kami walaupun kata-kata ini sebenarnya diucapkan oleh kerajaan terdahulu. Kami mewarisi semua kesilapan kerajaan terdahulu dan telah menjadi satu perkara yang cukup payah cuba membina keseluruhan kerajaan ini," katanya.

Menurut Mahathir ia cukup payah kerana ramai penjawat awam tertinggi yang membenarkan pentadbiran terdahulu membuat keputusan ini masih bertugas dan berkhidmat dalam kerajaan.

"Seluruh pentadbiran telah disusupi. Terdapat banyak pegawai yang bekerja hanya untuk parti (BN), ke tahap tertentu berkempen (untuk parti), memakai baju biru dan semua itu.

Cuba gagalkan kerajaan

"Sebahagian daripada mereka masih di situ cuba menggagalkan kerajaan ini, dengan tidak melaksanakan arahan dan semua (sabotaj) itu," katanya.

Mahathir berkata inilah yang menyebabkan beliau tidak percaya kepada ramai pegawai kerajaan yang dilihatnya terlibat dalam kerosakan "pembubaran" kerajaan untuk memenuhi matlamat BN.

"Kami perlu membina semula kerajaan ... memperuntukkan dan menentukan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Pada masa yang sama, kami tidak mempunyai wang. Kami perlu bayar (hutang pengembalian wang pembayar cukai)," katanya.

Pentadbiran terdahulu, kata Mahathir, tidak ragu-ragu meminjam wang daripada pihak lain untuk menunjukkan seolah-olahnya ekonomi dalam keadaan rancak tanpa perlu risau mengenai pembayaran balik pinjaman.

"Sesetengah orang di pasaran (ekonomi) merasakan bahawa jika anda membelanjakan wang yang dicuri, jika anda membelanjakan wang yang anda pinjam dan tidak mampu membayar balik, itu dibolehkan dengan dalih ia mewujudkan pekerjaan. Perbelanjaan pengguna akan meningkat dan semua itu.

"Yang mana lebih penting? Untuk membina semula kewangan dan ekonomi atau membenarkan ekonomi dan kewangan menjadi bertambah buruk supaya anda boleh meminjam lagi dan membelanjakannya (untuk) menunjukkan sebuah laporan yang baik kerana, seperti yang anda ketahui, penggunaan adalah sebahagian daripada sumbangan terhadap KDNK," soal beliau.

[Baca berita penuh]

BACA:

Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh

Projek China: Kalau boleh batal, jika tak dapat kita tangguh


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS