Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Projek China: Kalau boleh batal, jika tak dapat kita tangguh

WAWANCARA | Walaupun tajuk-tajuk laporan media tempatan mungkin mencadangkan beberapa projek mega yang dibiayai oleh China kini dibatalkan berikutan perbincangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin China, namun hal itu tidaklah sebegitu mudah.

Dr Mahathir, dalam temubual pertamanya selepas kembali dari China, memberitahu Malaysiakini bahawa apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, ia belum dapat ditentukan lagi.

"Hal-hal butiran dan perincian tidak pernah dibincangkan oleh perdana menteri atau presiden. Kebanyakan kerja ini perlu dibuat oleh pegawai," katanya kepada Malaysiakini pada wawancara di Yayasan Kepemimpinan Perdana.

Mahathir berkata apa yang beliau nyatakan adalah keutamaan Malaysia untuk membatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan saluran paip Strategic Energy Resources (SSER).

"Saya berkata jika kita boleh, kita ingin membatalkannya. Jika kita tidak dapat, kita ingin menangguhkan dan melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita.

"Ini adalah pilihan, bukan keputusan hitam dan putih. Anda perlu meninggalkan ruang untuk rundingan," katanya.

Malaysia tak bermusuh dengan China

Mahathir yakin pencapaiannya yang paling besar daripada lawatan lima hari ke China adalah meyakinkan Beijing bahawa Malaysia tidak bermusuhan dengan republik itu tetapi perlu membekukan projek-projek itu kerana kebimbangan kewangan yang tulen.

"China memahami bahawa - tiada seorang pun daripada mereka berkata 'tidak' atau apa-apa (yang bermaksud) seperti itu. Saya menjelaskan kepada ketiga-tiga pemimpin - perdana menteri, ketua parti serta presiden.

"Mereka tidak pernah menolak dan mengatakan bahawa ia tidak betul ... mereka semua mengakui bahawa kami mempunyai masalah kewangan yang hanya boleh diselesaikan dengan mengurangkan perbelanjaan," katanya.

Mahathir juga menafikan dakwaan pengkritik yang mengatakan Beijing tidak berpuas hati dengannya.

"Mereka tidak kelihatan tidak berpuas hati ... Saya diterima dengan baik oleh mereka dan kami mempunyai perbincangan yang sangat baik pada peringkat rasmi dan selanjutnya, saya makan tengah hari dengan perdana menteri dan makan malam dengan presiden.

"Ketika itu, hubungannya juga sangat mesra," katanya.

Bahagian yang sukar sekarang bergantung kepada jika pendirian kepimpinan China akan dapat diarahkan kepada birokratnya yang akan terlibat dengan Putrajaya yang akan merangka arah tuju seterusnya.

Projek-projek ini sebahagian besarnya jatuh di bawah Kementerian Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi serta kementerian berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam merundingkan butiran terperinci.

Mahathir berkata pampasan yang dijangkakan itu "sangat besar" dan perlu dibincangkan pada rundingan masa depan.

"Pampasan (yang perlu dibayar) disebut dalam perjanjian itu. Saya tidak membincangkannya kerana itu yang kami buat ketika rundingan sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil langkah itu," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS