Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Rundingan kontrak Najib dengan China 'paling bodoh'
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 4:31 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tanpa berselindung mengkritik pentadbiran terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengenai rundingan projek mega dengan syarikat China.

Menurut Dr Mahathir, negara ini tidak pernah menyaksikan kebodohan sebegini dalam merundingkan hal kontrak.

"Kebodohan sebegini tak pernah dilihat dlaam sejarah Malaysia," katanya.

Mahathir bercakap pada sidang akhbar di Beijing. Beliau dalam rangka lawatan rasmi ke China bagi merundingkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Beliau berkata jumlah pampasan projek ECRL dan SSER masih belum diputuskan lagi tetapi menjangkakannya sebagai “quite substantial” (agak banyak).

"Kami perlu mencari jalan untuk keluar daripada projek ini (ECRL) dan sebolehnya pada kos yang paling sedikit dan kami perlu membayar pampasan.

"Tetapi ini kebodohan orang kita sendiri. Kita tidak boleh salahkan China untuk hal ini," katanya lagi.

Bukan berdasarkan kerja yang dibuat

Mahathir selanjutnya menempelak Najib kerana bersetuju menandatangani kontrak seperti SSER, yang mana wang dibayar berdasarkan tempoh masa dan bukan perkembangan kemajuan kerja-kerja penyiapan projek.

"Saya tidak pernah mendengar kontrak yang mana kamu membayar pada masanya tanpa kerja-kerja disiapkan. Selalunya, kami membayar berdasarkan kerja-kerja yang telah dibuat. Kebebalan apakah ini?" Soal beliau.

Sebelum ini, China menyatakan minat terhadap projek Kereta Api Laju Singapura- Kuala Lumpur (HSR) tetapi Putrajaya juga sedang mengkaji untuk menangguhkan projek berkenaan.

Perdana menteri mengesahkan Putrajaya menangguhkan ECRL dan SSER dan menyifatkan HSR sebagai "tidak perlu", berkata kerajaan perlu bersedia mengumpulkan sejumlah dana bagi membayar pampasan.

"Baik, jika kami perlu membayar pampasan, maka kami perlu membayarnya.

"Ini kebodohan perundingan sebelum ini. Kenapa perlu bersetuju dengan perjanjian sebegini yang mana kamu perlu membayar sejumlah pampasan yang besar jika kamu membatalkannya. Dalam semua perjanjian, perlu ada klausa menarik diri daripada perjanjian dan klausa itu perlu adil kepada kedua-dua pihak.

"Tetapi jika kami tidak dapat menyelesaikannya, kami perlu membayar sejumlah besar wang pampasan untuk HSR. Kami telah merundingkannya namun jika kami gagal melakukannya, maka pampasan (yang perlu dibayar) itu berjumlah lebih setengah bilion ringgit," jelas beliau lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS