ULASAN l Kita mengucapkan terima kasih kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), terdiri daripada lima tokoh rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah pun menamatkan tugasnya dalam tempoh ditetapkan.
Mereka akan menyerahkan laporannya kepada perdana menteri, minggu depan.
CEP ditubuhkan untuk menasihati kerajaan pada awal pembentukannya, terutama sebelum kabinet terbentuk sepenuhnya dan sebelum sidang pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sekarang segala-galanya sudah terbentuk, dan perdana menteri mempunyai anggota kabinet yang cukup hebat, terdiri daripada pemimpin terkanan lima parti yang sebahagiannya telah berjuang begitu lama.
Malah kalangan ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) ada yang lebih lama daripada anggota CEP sendiri.
Cabar kabinet
Atas dasar prinsip kebertanggungjawapan bersama kabinet, kita merasakan tidak wajar lagi untuk CEP wujud, dan kabinet perlulah berfungsi sewajarnya.
CEP tidak ada legitimasi undang- undang atau perlembagaan.
Ia juga tidak merupakan sebahagian daripada tiga cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Kewujudannya secara berterusan boleh membongkah sistem demokrasi parlimen sedia ada.
Ada yang berpendapat, tugas ini sukarela dan tanpa kos kepada kerajaan. Ini bukan soal kos tapi soal kewajaran dan soal kuasa.
Apa lagi hampir semua anggota terbabit mempunyai kepentingan sangat besar dengan kerajaan dan 'conflict of interest' ternyata wujud.
CEP juga mencabar wibawa anggota Kabinet. Bukan sahaja seolah-olah kabinet tidak diyakini tetapi dilihat tidak konsisten.
Ini kerana ada menteri kabinet sebelum ini menuduh beberapa anggota CEP dengan pelbagai tuduhan berat, termasuk penyelewengan, tapi kini dilihat bukan saja tidak bertindak, sebaliknya tunduk kepada CEP.
Semua ini boleh membawa kepada soal integriti.
Apa lagi kiranya formula yang di perakukan gagal, sedangkan CEP tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada seorang perdana menteri.
Saya mencadangkan laporan CEP hendaklah didedahkan kepada awam dan perlu dilaporkan dalam sidang parlimen akan datang. Ini bukan sahaja supaya ada ketelusan, tetapi juga mengelak tuduhan-tuduhan selepas ini.
Sudah kedengaran timbul syak wasangka atas peranan CEP yang diketahui umum sangat terlibat dgn percaturan politik aras tinggi. Ini bakal memburukkan situasi dan mewujudkan kabinet di belakang kabinet.
Demi kebaikan, CEP harus dibubarkan dan anggotanya tidak harus terlibat dalam urusan kerajaan. Biarlah sistem yang sedia ada berfungsi mengikut peraturan dan perlembagaannya.
TAN SRI ANNUAR MUSA adalah anggota parlimen Ketereh dan setiausaha agung Umno.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.