Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EAIC digesa timbang semula keputusan tak beri laporan kematian dalam tahanan
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 8:47 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Peguam bagi keluarga mangsa kematian dalam tahanan Syed Mohd Azlan Syed Mohamed, M Visvanathan, menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menilai semula keputusannya untuk tidak memberikan laporan butiran berkenaan kematiannya.

Visvanathan berkata walaupun EAIC memetik Seksyen 52(1) Akta EAIC 2009 untuk berbuat demikian, beliau berpandangan seksyen sama turut membenarkan pegawai suruhanjaya itu untuk menggunakan budi bicara bagi mendedahkan laporan itu di mahkamah.

Katanya, penting untuk EAIC menyerahkan dokumen itu secara rasmi kepada mahkamah bagi membantu keluarga mendapatkan keadilan untuk Syed Mohd Azlan.

"Dalam keadaan ini, kami berharap EAIC dapat menilai semula pendirian mereka dan membantu keluarga (Syed Mohd Azlan) untuk memastikan keadilan diberi dan semua salah laku dikenakan tindakan," katanya dalam kenyataan semalam.

Syed Azlan, pada masa itu 25 tahun, mati pada 3 November 2014 ketika dalam tahanan di lokap sebuah balai polis di Sungai Rengit, Johor.

Siasatan EAIC mendapati 61 luka di badannya konsisten dengan kecederaan ketika mempertahankan diri, dan berkata dia telah dipukul polis ketika tahanan.

Tiga anggota polis - Weddrin Mojingkin, Joshua Perait dan Muhammad Bunyamin - didakwa menurut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. Kes itu masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Sementara itu, pihak keluarga telah memfailkan saman terhadap 14 responden termasuk tiga anggota polis itu untuk menuntut ganti rugi.

Dalam sidang media pada Rabu minggu lalu, Visvanathan mengecam EAIC kerana menolak permohonannya terhadap laporan mereka atas asas ia diklasifikan sebagai sulit.

Beliau juga meminta maklumat saksi yang memberi keterangan kepada EAIC agar mereka boleh disapina.

EAIC kemudian menafikan bahawa laporan tersebut sebagai sulit, tetapi berkata maklumat yang diminta Visvanathan tiada dalam laporan mereka. Suruhanjaya itu berkata laporan itu telah dibuka kepada awam pada 30 Oktober 2015.

Dalam kenyataannya semalam, Visvanathan menjelaskan beliau tidak berniat untuk meminta identiti saksi.

"Kami nyatakan permintaan kami bukan identiti saksi yang memberi bukti kepada siasatan EAIC kerana kami sudah mengenalpasi dan namakan defendan yang relevan di mahkamah sivil.

"Justeru, kenyataan media EAIC bertarik 16 Ogos 2018 adalah tidak tepat," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata keluarga memerlukan seseorang yang diberi kuasa oleh EAIC untuk secara rasmi memberikan laporan kepada mahkamah di mana prosiding sivil kini sedang berjalan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS