Paling Popular
Terkini

Mandat selama 100 hari yang diberikan kepada Majlis Penasihat Kerajaan sudah disempurnakan, kata pengerusinya Tun Daim Zainuddin.

Menurut beliau majlis tersebut juga sudah menyiapkan satu laporan mengenai cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk dikemukakan kepada kerajaan.

Bekas menteri kewangan itu menambah, laporan tersebut akan diserahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad esok, iaitu apabila perdana menteri pulang dari lawatan rasminya ke China.

Kata Daim secara keseluhan majlis penasihat tersebut bertemu dengan lebih 350 individu serta wakil lebih 200 pertubuhan, termasuk agensi penguat kuasa, wakil sektor perbankan, dewan perniagaan dan pengguna.

Untuk rekod majlis penasihat yang dianggotai lima tokoh terkemuka itu ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas gabungan terbabit berjaya membentuk kerajaan pusat.

Selain Daim, ia turut dianggotai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara), Tan Sri Hassan Merican (bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Petronas) Tan Sri Robert Kuok (tokoh korporat) dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi).

Semasa mengumumkan pembentukan majlis tersebut pada 12 Mei lalu Dr Mahathir berkata mereka ditugaskan untuk membantu kerajaan membentuk dasar dan program bagi mencapai janji HARAPAN.

Tak cakap apa-apa

Kata perdana menteri, mandat diberi kepada majlis tersebut hanya 100 hari.

Bagaimanapun beberapa pihak mula meragui hayat majlis berkenaan dan timbul spekulasi ia akan dilanjutkan selepas 100 hari.

Antara lain ia disebabkan kenyataan Dr Mahathir pada 16 Ogos lalu apabila beliau tidak menolak kemungkinan mandat Majlis Penasihat Kerajaan akan dilanjutkan.

Kata Dr Mahathir beliau tidak pernah berkata majlis itu hanya berperanan untuk tempoh 100 hari.

"Ada yang merasakan Majlis Penasihat Kerajaan akan ditamatkan, tetapi saya belum buat keputusan.

"Saya tidak ada cakap apa-apa tentang 100 hari (untuk tempoh majlis itu). Saya masih perlukan khidmat mereka," katanya.

Ditanya mengenai masa depan majlis tersebut Daim berkata, beliau akan berunding dengan perdana menteri.

Namun kata Daim tempoh mandat yang diberikan kepada majlis itu sudah tamat.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS