Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pintu untuk PAS, MIC bekerjasama kini terbuka
Diterbitkan:  Aug 19, 2018 3:57 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Satu lagi khabar menggembirakan buat PAS menjelang pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia yang akan diadakan pada 8 Sept ini.

Selepas mendapat sokongan dan bantuan Umno, parti itu hari ini mendapat suntikan semangat baru apabila MIC pula membuka pintu untuk bekerjasama dengan PAS.

Persefahaman berkenaan tercapai semasa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu dengan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran di Jalan Raja Laut hari ini.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Pejabat Presiden PAS, Vigneswaran memberitahu MIC bersedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama.

Hubungan tersebut, kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, termasuk memberikan sokongan kepada calon parti itu yang terbabit dalam PRK Seri Setia.

"PAS menyambut baik keterbukaan MIC yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam agenda kebajikan rakyat dan keharmonian kaum dalam negara," katanya.

Untuk rekod Umno memberikan sokongan moral secara terbuka dan terbuka semasa proses penamaan calon PRK Seri Setia di Petaling Jaya semalam.

Dialog antara kaum, agama

BN tidak meletakkan calon di Seri Setia walaupun bertindak demikian pada pilihan raya umum ke-14 lalu. Ia adalah sebagai menghargai sikap PAS memberi laluan kepada Umno mencabar Pakatan Harapan (HARAPAN) di Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.

PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong yang menyaksikan HARAPAN dicabar calon MCA, Tan Chee Teong.

Pada 15 Ogos lalu Abdul Hadi sudah mengeluarkan arahan kepada penyokong PAS supaya memberikan undi mereka kepada calon MCA berkenaan.

Menurutnya langkah itu dibuat atas dasar "semangat pembangkang" yang menghadapi kerajaan.

Bagaimanapun setakat ini belum ada kenyataan rasmi dibuat oleh MCA sebagai membalas arahan Abdul Hadi berkenaan.

Menurut Syahir pertemuan dengan pemimpin MIC hari ini turut dihadiri beberapa tokoh termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; setiausaha agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS N Balasubramaniam.

Delegasi MIC turut disertai timbalan presidennya Datuk Seri S K Devamany dan ketua pemuda Datuk Sivarraajh Chandran.

Kata Syahir, Abdul Hadi sempat berkongsi pandangannya mengenai isu masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama di negara ini.

Tidak ketinggalan katanya Abdul Hadi menjelaskan mengenai keperluan untuk memberikan kefahaman sebenar demi mewujudkan keharmonian antara agama.

"Presiden PAS merakamkan setinggi penghargaan kepada presiden MIC atas pertemuan yang bersejarah ini, serta menyatakan kesediaan untuk meneruskan usaha dialog antara kaum dan agama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS