Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP tetap mahu k'jaan Perak lulus hak milik tanah 999 tahun
Diterbitkan:  Aug 18, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

DAP Perak tetap mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

"Saya merasakan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di mana tanah-tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan Majlis Tanah Negara hanya memberikan nasihat, itu sahaja," katanya selepas merasmikan majlis jualan amal membabitkan penyertaan lima buah sekolah rendah dan menengah Cina dalam Teluk Intan bertempat di Sekolah Menengah (SM) Persendirian San Min di sini hari ini.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu ketika dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Faizal berkata semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau 'leasehold' bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Menteri Besar itu menjelaskan lagi mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Dalam pada itu, Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata hak milik 999 tahun itu juga bukan isu kerana pihaknya akan memberikan hak milik kekal itu kepada semua bangsa melibatkan kampung tersusun, penempatan kaum India dan kampung baru.

"Saya ingin tekankan apabila kita berikan hak milik kekal, kita bagi kepada semua bangsa dan ini perlu ditegaskan... Jangan salah faham, ini bukan tanah baharu, ini adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan sejak tahun 1948 iaitu waktu darurat, sudah wujudnya kampung baru

"Itu rumah mereka, takkan kita hendak rampas rumah rakyat? Cuma saya minta berikan hak milik, hak milik sememangnya ada, cuma dilanjutkan tempoh pajakan maka tak jadi isu," katanya.

Sehubungan itu tegas Nga, pihaknya tidak meletakkan tekanan terhadap Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam memainkan peranan isu itu namun perkara itu ada dalam manifesto dan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan semua janji-janji itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS