Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Walau telah kalah, BN masih tiada rasa malu
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 10:20 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

100 HARI | Selepas mengelak sebarang konfrontasi dengan BN sejak PRU ke-14, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir malam ini menyasarkan kritikannya terhadap gabungan itu yang menurutnya cenderung mencetuskan kebencian dan menyebabkan negara menanggung hutang yang besar.

"Setelah kalah BN masih cuba mengeruhkan keadaan dengan memainkan politik perkauman dan agama, bahkan cuba mengheret Raja-raja Melayu supaya menimbulkan kebencian terhadap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Setiap pelantikan ke jawatan penting dalam kerajaan dicemuh dari kaca masa bangsa dan agama. Mereka lupa apabila mereka melantik pegawai, yang diutamakan adalah sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti mereka.

"Undang-undang yang mereka cipta bertujuan menjadikan mereka kebal dan menekan musuh mereka tanpa alasan. Akhbar dan media mereka diguna untuk menutup salah laku dan pembohongan mereka," katanya dalam perutusan khas sempena 100 hari pentadbiran HARAPAN ygn disiarkan secara langsung pada pukul 8.30 malam ini.

Beliau berkata, setelah mengambil alih kerajaan, HARAPAN mendapati semua jabatan kerajaan ditakutkan oleh kerajaan dulu dan dipergunakan untuk "membuat kerja parti".

"Hutang mereka berjumlah trillion ringgit, angka yang tidak pernah kita dengar dahulu. Namun dengan sombongnya mereka nafi yang mereka melakukan kerosakan ini.

"Dengan tidak merasa malu, mereka mengaku wang berjuta ringgit yang dikesan (oleh pihak berkuasa) adalah untuk parti mereka. Bagaimana mereka boleh ada sebegitu banyak wang tidak dijelaskan," katanya lagi.

Wang bukan lagi raja

Mahathir berkata pentadbirannya telah menghapuskan falsafah 'wang itu raja' (cash is king), merujuk dakwaan yang sering diulangnya bahawa prinsip itu adalah amalan utama pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

"Wang hanya menjadi raja kalau memiliki jumlah yang besar. Untuk parti politik mendapat wang yang sebegini banyak, tidak ada jalan lain daripada mencuri.

"Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrillion ringgit. Untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok."

Dengan sokongan yang padu daripada rakyat, katanya lagi, "kerajaan kleptokrasi" Najib berjaya dikalahkan dan tarikh 9 Mei akan kekal dalam sejarah negara.

"Kejayaan ini pasti akan tercatat di dalam lipatan sejarah negara sebagai satu kemenangan rakyat yang tidak ada tolok bandingannya.

"Ada yang anggap kemenangan ini sebagai 'miracle' atau keajaiban. Lebih-lebih lagi apabila ia dicapai tanpa pertumpahan darah ataupun pertembungan antara rakyat dengan pihak berkuasa seperti yang kita saksikan di serata dunia," katanya.

Tiada toleransi terhadap rasuah

Beliau berkata kerajaan kini sedang merangka undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik dan dasar berhubung pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran.

"Kerajaan telah memutuskan untuk melakukan penambahbaikan mekanisme penerimaan hadiah, keraian dan upahan oleh anggota pentadbiran.

"Tafsiran anggota pentadbiran diperluas sehingga termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Mereka juga perlu melaporkan penerimaan hadiah, keraian dan upahan," katanya lagi.

Mahathir berikrar untuk tidak menyekat media tetapi memberi amaran ia tidak boleh digunakan untuk mencetuskan provokasi kaum di kalangan rakyat.

"Kerajaan percaya di masa akan datang, tidak kira parti mana yang memerintah, siapa yang menjadi perdana menteri dan menteri,
pengukuhan institusi-institusi akan memastikan rasuah, salah guna kuasa dan pencurian wang dan harta awam tidak akan berlaku.

"Dan jika ianya berlaku mereka tidak akan terlepas tindakan undang-undang.

"Inilah pegangan Kerajaan hari ini iaitu menghormati dan menghayati kehendak rakyat supaya the rule of law, pemerintahan
mengikut undang-undang dikuatkuasakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS