Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus RUU masuh Akta Antiberita Tidak Benar

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 melalui undi majoriti pada sidang hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin ketika menggulung RUU itu berkata undang-undang sedia ada telah mencukupi dan ia boleh dipinda jika tidak mampu untuk menangani isu berita palsu.

“Jika kita kaji Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, dan undang-undang sivil yang lain, ia boleh digunakan sebagai remedi untuk menangani berita palsu,” katanya.

Beliau menambah, memperkasakan siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga boleh membantu menangani berita palsu terutama dalam mengesan akaun palsu dalam media sosial.

"Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said) kata tadi, sukar untuk kita kesan siapa yang cipta akaun palsu dalam media sosial, tetapi sebenarnya kita kena 'empower' polis, akaun palsu ini mesti ada orang 'operate', teknologi yang dipakai agensi penyiasatan luar negara untuk kesan akaun ini," katanya.

Hanipa berkata, pemansuhan itu dibuat susulan wujudnya akta sedia ada bagi mendakwa pihak yang membuat berita tidak benar.

"Pemansuhan akta itu sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berikrar menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang rimba kerajaan terdahulu.

"Itulah sebabnya kita perlu memansuhkan akta ini," katanya.

Pada persidangan minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang membentangkan RUU itu bagi bacaan kali pertama berkata ia bertujuan mengadakan peruntukan bagi pemansuhan akta itu disebabkan perubahan dasar kerajaan yang berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada, seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta AKMM 1998.

RUU itu juga menyatakan sebarang penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berhubung kesalahan yang belum selesai di bawah akta yang dimansuhkan, boleh diteruskan seolah-oleh akta itu masih berkuatkuasa.

Seramai 12 anggota Parlimen mengambil bahagian membahaskan RUU itu.

Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu, Anggota Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mencadangkan satu jawatankuasa bertindak dianggotai oleh pakar media dan kewartawanan bagi menangani ancaman berita palsu tanpa menambah akta sedia ada.

Syed Ibrahim berkata kerajaan boleh mengambil contoh seperti negara Belgium yang mewujudkan jawatankuasa bertindak khas disertai oleh pakar media dan cendiakawan bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

"Antara yang boleh dilakukan oleh 'task force' ini nanti ialah menjalankan kempen kesedaran rakyat yang akan mengatasi persepsi bahawa kita tolak Akta Antiberita Tidak Benar bukan kerana kita mahu berita tidak benar menular di negara ini," katanya.

Syed Ibrahim juga berkata laman web seperti sebenarnya.my perlu dikekalkan, bagaimanapun perlu diperkasakan menjadi medium untuk memperjelaskan maklumat sebenarnya mengenai sesuatu berita palsu itu.

Akta itu dimansuhkan selepas empat bulan diwartakan sebagai undang-undang selepas diluluskan pada 2 April lalu.

Malaysiakini juga pernah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan Akta Antiberita Tidak Benar itu.

Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang itu telah ditolak atas alasan teknikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS