Menjelang pentadbiran 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), kajian oleh Merdeka Centre mendapati 71 peratus rakyta berpuas hati dengan kepimpinanan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Menurut kajian itu, peratus berkenan jatuh 12 peratus dalam tempoh antara 31 Mei dan 11 Ogos lalu.
Di sebalik ini, Dr Mahathir masih mengungguli pencapaian Datuk Seri Najib Razak, yang menyaksikan sokongan tertinggi pada 62 peratus selepas pilihan raya umum ke-13 antara Jun dan Ogos 2013. Sebelum PRU14, peratusan yang berpuas hati dengan Najib adalah 38 peratus pada bulan April.
Kajian Merdeka Center juga mendapati bahawa Dr Mahathir mencatatkan kedudukan peratusan yang tinggi di kalangan pengundi bukan Melayu dengan kaum India pada 93 peratus dan Cina pada 83 peratus, manakala di kalangan kaum Melayu, jumlah yang berpuas hati dengannya adalah pada 62 peratus.
Ahli politik berusia 93 tahun, yang menjadi perdana menteri untuk penggal kedua itu sebelum ini telah memimpin negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Beliau mendapat sokongan yang hampir setara di kalangan pengundi bandar dan luar bandar baik di Semenanjung Malaysia, mahupun di Sabah dan Sarawak serta dari pelbagai latar pendapatan dan kumpulan umur.
Peratus yang menyokongnya adalah tinggi di kalangan kakitangan kerajaan dan GLC iaitu pada 81 peratus.
Sementara itu, kerajaan HARAPAN juga diberikan penarafan positif oleh lebih dua pertiga daripada responden, iaitu pada 67 peratus.
Kajian juga mendapati 64 peratus responden berpendapat negara menuju "ke arah yang betul" dalam perkara-perkara mengenai kepimpinan dan isu semasa berikutan pilihan raya umum 9 Mei. Jumlah itu bagaimanapun menurun kepada 55 peratus pada bulan Ogos.
Tempoh yang sama juga menyaksikan peratusan mereka yang merasakan negara bergerak ke arah yang salah meningkat dari 12 peratus kepada 24 peratus.