Tinjauan Merdeka Centre mendapati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri kabinet paling popular di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.
Berbeza pula dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, apabila orang Melayu dan bukan Melayu menunjukkan tahap sokongan yang berbeza.
Menurut tinjauan yang dijalankan pada 7 hingga 14 Ogos itu, Wan Azizah mendapat kadar sokongan sebanyak 75 peratus dengan 16 peratus saja yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.
Ia berikutan sokongan tinggi daripada masyarakat Melayu (71 peratus sokong; 19 peratus tidak sokong) dan bukan Melayu (84 peratus sokong; 9 peratus tidak sokong).
Sementara itu, Lim lebih pupular di kalangan orang bukan Melayu dengan kadar 84 peratus. Hanya sembilan peratus yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.
Di kalangan responden Melayu pula, 44 peratus berpuas hati dengan setiausaha agung DAP itu manakala 42 peratus tidak.
Ia menyebabkan kadar keseluruhannya merosot namun Lim masih berjaya meraih tempat keempat dengan 60 peratus berpuas hati dengan prestasinya manakala 28 peratus tidak.
Bagi Maszlee pula, caranya menangani kontroversi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) nampaknya memberi kesan terhadap kadarnya.
Isu itu dianggap penting oleh masyarakat Cina tetapi orang Melayu melihatnya sebagai mengenepikan bahasa kebangsaan.
Di kalangan responden Melayu, hanya 54 peratus berpuas hati dengan Maszlee manakala 26 peratus tidak. Untuk masyarakat bukan Melayu pula, 41 peratus berpuas hati dan 33 peratus tidak.
Secara keseluruhan, 50 peratus berpuas hati dengannya dan 28 peratus tidak.
Ini menjadikan Maszlee paling tidak popular di kalangan tujuh menteri utama yang terlibat dalam tinjauan Merdeka Centre itu.
Tempat kedua dan ketiga diduduki oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 54 peratus sokong; 15 peratus tidak) dan Menteri Dalam Negeri (62 peratus sokong; 18 peratus tidak).
Tempat kelima dan keenam pula Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (58 peratus sokong; 22 peratus tidak) dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad (53 peratus sokong; 13 peratus tidak).
Tinjauan itu turut menyertakan Peguam Negara Tommy Thomas yang menduduki tempat kelapan iaitu paling bawah, dengan kadar keseluruhan 49 peratus berpuas hati dengan pencapaiannya dan 25 peratus tidak.
Walaupun sangat popular di kalangan bukan Melayu (67 peratus sokong; tujuh peratus tidak), pandangan responden Melayu pula berbelah bahagi (37 peratus sokong; 38 peratus tidak).
Tinjauan itu melibatkan 1,160 pengundi dan menggunakan kaedah pensampelan rawak berstrata berdasarkan demografi negara.