Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: Kalau saya suruh bunuh, nak bunuh tak?
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 2:07 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan penjawat awam seperti PTD, polis dan tentera untuk berkhidmat dengan setia kepada kerajaan tetapi bukan sehingga tahap melakukan jenayah.

“Kalau saya bagi arahan suruh bunuh, nak pi (pergi) bunuh tak?

"Kamu tidak perlu ikut semua arahan. Hanya ikut arahan yang tertakluk di bawah dasar-dasar kerajaan,”  katanya di hadapan kira-kira 3,500 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan menteri-menteri kabinet yang menghadiri sesi Town Hall Bersama PTD di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata  jika pegawai kerajaan mendapati tugas yang diberikan adalah jelas salah atau berunsur jenayah, mereka tidak seharusnya mengikut sahaja arahan tersebut.

"Ada beza antara arahan yang mengikut dasar tertentu dengan arahan melakukan jenayah,” katanya sambil menambah bahawa adalah salah jika pengawai kerajaan menerima arahan untuk melakukan jenayah, seperti menyembunyikan bukti jenayah.

Mahathir, yang tidak menyebut sebarang kes tertentu, berkata kakitangan awam, termasuk anggota polis dan tentera, berhak mengingkari perintah jika ia melanggar nilai moral.

Walau bagaimanapun, beliau berkata ada kakitangan kerjaan yang secara buta mengikut arahan.

“Apabila disuruh buat benda salah, ada pegawai yang sanggup, diarah sembunyi bukti tu.. dan kenakan hukum kepada sesiapa yang membocor, itu salah,” katanya.

Dr Mahahtir berkata pegawai kerajaan perlu tegas menidakkan arahan yang tidak wajar seperti turun berkempen untuk parti politik walaupun diugut dikenakan tindakan.

“Jika kamu semua mengatakan tidak, takkan semua kena hukum?” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan membela penjawat awam yang dikenakan tindakan dan "didera” kerana tidak mengikut arahan pentadbiran terdahulu, beliau berkata kerajaan sedia berbincang untuk mengembalikan jawatan mereka.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau perlu meneliti dahulu laporan bagi memastikan mereka yang benar-benar menjadi mangsa dapat dibela, selain mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

“Ada yang sudah dibela, tetapi jumlahnya terlalu banyak, mungkin ada yang terlepas daripada siasatan kita.

“Jika ada, sila beri dengan maklumat tertentu apa yang menyebabkan dia ‘didera’ dahulu dan kerajaan akan bertindak kembalikan pangkat lama atau membayar balik apa yang terhutang kepadanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata dalam usaha membanteras perkara yang salah, pegawai kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mereka akan ‘didera’, tetapi mereka perlu percaya apa yang dilakukan akhirnya akan membawa kebaikan.

Mengakui beliau turut "didera" oleh pentadbiran terdahulu termasuk dihentikan elaun bulanan serta kehilangan rakan-rakan yang takut untuk mendekatinya, Dr Mahathir berkata ia adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dalam memperjuangkan perkara yang benar.

“Kalau kerana saya ‘didera’ dan saya akur sahaja dengan mereka, apa akan jadi pada negara dan masyarakat kita? Jadi kita perlu terima ‘didera’ kerana kita enggan patuh perkara yang salah,” katanya.

Mengenai soalan dan rungutan lain berkaitan urus tadbir kerajaan yang disuarakan dalam sesi town hall itu, Dr Mahathir berkata beliau akan membuat kajian dan mengadakan perbincangan serta mencari bukti sebelum membuat sebarang keputusan.

"Ramai tulis surat kepada saya. Sekarang saya ada timbunan surat dan saya ada 18 jam (sehari) untuk membacanya," katanya.

Mengenai hubungan luar negara, Dr Mahathir berkata Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara di dunia tanpa mengambil kira ideologi negara tersebut dan berhak menegur jika mereka membuat kesalahan tanpa mengira negara kecil atau besar.

Dr Mahathir berkata Malaysia menggunakan pengaruhnya dalam konflik di negara-negara jiran seperti Filipina dan Thailand, bagaimanapun gagal dalam mempengaruhi negara Asia Barat.

“Kita dah jumpa ramai pemimpin mereka (Asia Barat) tapi nasihat tidak diterima sebab itu kita gagal pengaruhi mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sering mempertahankan Palestin kerana berlaku ketidakadilan yang begitu ketara terhadap rakyat negara itu apabila tanah mereka dirampas puak Yahudi.

Dalam usaha membanteras keganasan, Dr Mahathir berkata ia tidak akan dapat diselesaikan jika tumpuan terus diberikan kepada melawan keganasan dengan senjata tanpa mengenal pasti faktor keganasan berlaku.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS