Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Selama ni LGBT tak guna tandas ke?'
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

"Kenapa kalut ribut bincang pasal guna tandas perempuanlah, tandas lelakilah, terbaru ni tandas OKU pula. Selama ini mereka itu tidak guna tandas ke?"

Itu kenyataan dikeluarkan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan mengenai isu penggunakan tandas di kalangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hangat diperkatakan sekarang.

Kata Nasruddin adalah lebih baik semua pihak berbincang agar budaya LGBT tidak menular dalam negara ini dan mereka dirawat secara spiritual dan mental.

"Alangkah baik kalau bincang bagaimana mahu sekat menularnya budaya LGBT dalam negara ini serta memberi khidmat nasihat, merawat dan membaik pulih mental dan spiritual mereka agar kembali kepada fitrah," katanya dalam catatan di Facebook.

Isu LGBT mencuri tumpuan bermula dengan penurunan gambar beberapa aktivisnya daripada sebuah pameran di Pulau Pinang.

Ia kemudian menjadi semakin panas apabila aktivis sosial, Marina Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa golongan itu hanya mahukan hak yang sama seperti rakyat Malaysia lain. 

Menteri agama, Mujahid Yusuf kemudian mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan Nisha Ayub, salah seorang aktivis LGBT.


Baca: Jangan diskriminasi golongan transgender, kata menteri


Bagaimanapun kenyataan Mujahid ketika sidang media itu menerima kecaman netizen apabila beliau dikatakan bersetuju jika golongan transgender berkongsi tandas dengan wanita.

Mujahid kemudian memohon maaf dan mengakui terkhilaf ketika mengeluarkan kenyataan tersebut.

Timbalan Mujahid, Fuziah Salleh pula selepas itu menyarankan golongan mak nyah menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU) jika mereka tidak selesa menggunakan tandas lelaki.


Baca: Buat masa ini transgender mungkin boleh guna tandas OKU


Cadangan itu menyebabkan seorang aktivis OKU berang dan menyifatkan timbalan menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan yang tidak sensitif serta tidak boleh diterima.

'Islam wajibkan hormati privasi'

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, peguam Lawyers For Liberty, Latheefa Koya mengingatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai perbezaan kebebasan bersuara dan etika perubatan.

Beliau merujuk tindakan Syed Saddiq membela seorang doktor, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berhubung surat terbuka yang ditulis pengamal perubatan itu di media sosial mengenai isu LGBT.

"Ini tentunya bukan kebebasan bersuara! Ia mengenai kelakuan etika profesional sebagai seorang doktor - ia memberi kesan terhadap keyakinan terhadap perkhidmatan kesihatan. Tindakan mesti diambil terhadapnya," kata Latheefa di laman Twitter.


Baca: Menteri: Dr Nur Ilyani hanya nyatakan pandangan peribadi


Latheefa berkata prinsip Islam mewajibkan seseorang muslim menghormati privasi dan menutup aib saudaranya yang lain.

"Seseorang doktor meluahkan prejudis dan menghukum secara terbuka ini melanggar asas etika bidang perubatan. Jangan drama lebih - buat kerja. Malah prinsip Islam mewajibkan menghormati privasi dan menutup aib seseorang.

"Sebab itu sesuatu perkara terkutuk seperti berzina tidak boleh diluahkan jika tidak cukup 4 saksi. Bukan kerja seseorang mencari aib. #bezadosa&jenayah," tulisnya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS