PAS menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengikut jejak langkah pentadbiran BN apabila meneruskan jawatan duta khas perdana menteri.
Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika mengulas pelantikan pengerusi DAP merangkap anggota parlimen Cheras Tan Kok Wai sebagai duta khas perdana menteri ke China.
Tuan Ibrahim berkata, apatah lagi HARAPAN sendiri sebelum ini mengkritik BN yang melantik antaranya Tun Samy Vellu sebagai duta khas ke India dan Asia Selatan serta Datuk Seri Ong Ka Ting sebagai duta khas ke China.
"PAS kesal Kerajaan HARAPAN mengikut jejak langkah Kerajaan BN dengan melantik Tan Kok Wai sebagai duta khas ke China," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lagi, kerajaan mengumumkan tidak mampu melaksanakan janji 100 hari dan pembatalan serta penangguhan projek yang membawa kebaikan kepada rakyat kerana tiada kemampuan kewangan.
"Pada masa sama tindakan kerajaan seperti cadangan kereta nasional baru dan kini pelantikan duta khas menyebabkan rakyat terasa dipermainkan. Jangan ulangi kesilapan BN yang suka memutarbelit fakta dan menipu rakyat," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.
Menurut laporan media tempatan, Tan akan menggantikan Ong Ka Ting berkuatkuasa 1 Ogos lalu dengan peranan untuk memperkukuh hubungan negara dengan kuasa ekonomi dunia itu.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong hari ini memberitahu Dewan Rakyat terma dan syarat pelantikan Tan masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata duta khas itu mungkin dilantik secara kontrak dan tidak diberi taraf menteri seperti yang dibuat pentadbiran BN.