Kerajaan tidak akan meminda semula Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja untuk meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang (RUU).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hal berkenaan, telah dipinda tiga kali sebelum ini.
“Akta itu telah dipinda tiga kali melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, 1984 dan 1994. Pindaan yang dibuat pada 1994 ke atas 4 dan 4A Perkara 66 bertujuan memastikan satu RUU tidak ambil masa terlalu lama untuk menjadi undang-undang setelah diluluskan (Dewan Rakyat dan Negara) dan dipersembahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
“Dengan pindaan itu, melainkan hal-hal yang menyentuh keistimewaan raja-raja, RUU tetap akan menjadi RUU setelah habis tempoh 30 hari diluluskan Parlimen,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata peruntukan Fasal 4 dan 4A menghapuskan segala keraguan berkaitan hak Parlimen dalam membuat RUU selain menolak keraguan Parlimen sebenarnya tidak berkuasa dan negara diperintah raja-raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan.
Dr Mahathir berkata pindaan-pindaan berkenaan, tidak sepatutnya dilihat sebagai langkah menggugat kemuliaan raja-raja tetapi bagi memaktubkan prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi undang-undang yang mewakili kehendak rakyat.
“Kemuliaan raja-raja terus tetap dipertahankan dalam konteks Raja Berperlembagaan. Malah terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dengan sebahagiannya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri,” katanya.
Ismail dalam soalannya ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji atau meminda semula Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) sama ada akan wujud ketidakseimbangan di dalam Parlimen apabila Perkata 66 (4A) dipinda, Dr Mahathir berkata :
“Negara kita adalah negara demokrasi di mana suara rakyat yang menentukan segala-galanya, namun demikian kita juga memberi tempat kepada (Yang di-Pertuan) Agong supaya Agong tahu tentang sesuatu undang-undang yang diluluskan rakyat.
“Kalau (Yang di-Petuan) Agong diberi kuasa mutlak untuk tolak undang-undang, maka rakyat hilang kuasa, dan kita ubah demokrasi lagi dan negara kita menjadi negara absolute monarchy,” tegasnya.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan meneliti segala aspek sebelum meminda sesuatu akta agar kejadian seperti RUU Majlis Keselamatan Negara yang dipinda dan diluluskan secara automatik sebagai undang-undang tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong, tidak berulang.
“Akta itu memberi hak kepada kerajaan untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara. Kerajaan akan mengkaji lebih lanjut mengenai perkara ini jika terdapat keperluan,” katanya dan menambah kerajaan sedar akta itu jelas memberi kuasa dan keistimewaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat kerana implikasinya amat serius.
Akta Majlis Keselamatan Negara, yang diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan ketiga pada Disember 2015 dan berkuat kuasa 1 Ogos. 2016, antara lain membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.
- Bernama