Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: M'sia tak mahu terheret dalam perang Arab Saudi
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 9:41 AM
Dikemaskini: 1:47 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas Malaysia adalah negara neutral dan tidak akan terheret dalam perang di Timur Tengah, terutama Arab Saudi.

Dalam wawancara bersama Associated Press (AP), beliau mengulas tindakan kerajaan memanggil balik pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi seperti yang diumumkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Jun lalu.

"Arab Saudi kini dalam perang. Kami tidak ingin terlibat dalam mana-mana perang luar...kami tidak akan dituduh membantu mana-mana perang yang agresif," katanya seperti dipetik.

Beliau membangkitkan Arab Saudi yang mengetuai gabungan beberapa negara dalam serangan terhadap Yaman serta penglibatan negara itu dalam konflik dengan Myanmar.

Terdahulu, Mohamad berkata kabinet memutuskan untuk memanggil balik pasukan ATM di Arab Saudi kerana negara mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia.

Langkah itu dibantah anggota parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata keputusan itu seperti menggambarkan negara berpihak kepada pemberontak di Yaman.

Penempatan tentera di negara itu sekian lama dibantah pembangkang terutama AMANAH, walaupun menteri pertahanan sebelum ini Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tentera negara tidak terlibat dalam operasi serangan.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) - kerjasama antara dua negara bagi melawan keganasan.

Mengulas is pelarian Rohingya, Mahathir mengecam layanan kerajaan negara itu yang menurutnya telah melakukan ketidakadilan terhadap etnik itu dan Aung San Suu Kyi yang baginya gagal menghalangnya.

Beliau berkata kerajaan Myanmar perlu menerima etnik itu yang telah tinggal di sana sejak sekian lama sebagai warganegara.

"Apa yang mereka lakukan sangat tidak adil, pembunuhan besar-besaran, ia bukan kelakuan negara bertamadun," katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS