PARLIMEN | Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyemak semula undang-undang berkaitan keselamatan negara untuk mengkaji sama ada ia selari dengan hak asasi manusia.
KDN berkata, jawatankuasa itu dianggotai PDRM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, mahkamah, pengamal undang-undang dan ahli akademik.
Dalam jawapan bertulis kepada RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong), KDN berkata antara undang-undang yang akan disemak adalah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Ppta), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
"(Jawatankuasa) akan menilai akta berkenaan secara mendalam.
"Kementerian akan memuktamadkan cadangan pemindaan atau pemansuhannya setelah kajian menyeluruh selesai dilaksanakan," kata jawapan bertulis itu.
Rayer bertanya sama ada kementerian akan memansuhkan semua undang-undang "zalim" seperti Akta Hasutan 1948, Sosma, Poca dan juga Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Beliau berkata ia antaranya bagi membuang persepsi bahawa undang-undang itu digunakan untuk tujuan politik seperti mengambil tindakan terhadap parti dan pihak yang berbeza ideologi.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan anggota jawatankuasa pada masa itu.