Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Buat masa ini, transgender mungkin boleh guna tandas OKU'

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berpendapat, masyarakat perlu melihat masalah golongan transgender secara menyeluruh.

Justeru, berhubung penggunaan tandas, anggota parlimen Kuantan berkata mungkin ketika ini golongan mak nyah boleh menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU) jika mereka tidak selesa menggunakan tandas lelaki.

"Kita kena lihat secara keseluruhan, transgender ini ada. Mereka kelompok kecil.

"Selama ini isu tandas tak timbul tapi oleh kerana isu ini besar maka timbul soalan pelbagai.

"Secara psikologi mereka ini ialah wanita yang terperangkap dalam tubuh lelaki, mereka akan rasa tak selamat tak selesa ke tandas lelaki.

“Akan tetapi bila ke tandas perempuan, perempuan juga tak selesa sedangkan selama ni orang perempuan tak rasa apa.

“Oleh kerana isu ini dah jadi isu besar, ia timbul dilema oleh golongan transgender.

"Buat masa ini, mungkin itu (menggunakan tandas OKU) ialah penyelesaiannya," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau diminta pemberita menjelaskan penggunaan tandas OKU oleh golongan transgender.

Bagaimanapun, Fuziah menegaskan, isu tandas bukan isu utama.

Sebaliknya, kata wakil rakyat PKR itu, kerajaan memberi perhatian kepada usaha membawa golongan berkenaan kepada fitrah.

"Kita perlu cakap mengenai isu ini kerana penting untuk bantu mereka kembali kepada fitrah.

"Dalam proses itu kita kena hadapi beberapa situasi yang kita tidak boleh nafikan.

“Saya harap usaha kita berjaya untuk keluarkan mereka dari lorong. Ia isu yang lebih besar berbanding isu tandas," ujarnya lagi.

Sebelum itu, pada sidang media sama Fuziah menjelaskan masalah yang dihadapi oleh golongan transgender apabila menggunakan tandas.

Katanya, ada sesetengah komuniti berkenaan yang menghadapi ketakutan untuk menggunakan tandas.

"Isu tandas ini isu yang benar berlaku.

"Kita cuba fahami mereka ketika ini. Ketika ini, mungkin mereka boleh guna tandas OKU, sebagai contohlah ya," ujarnya.

Isu penggunaan tandas oleh golongan transgender timbul selepas sidang media yang dibuat oleh Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof bersama aktivis LGBT Nisha Ayub pada Jumaat lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS