Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR pertahan dakwaan Azmin-Daim mahu halang Anwar jadi PM

Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid mempertahankan dakwaannya berhubung rancangan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah yang bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR akan datang berkata beliau benar-benar yakin Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan Tun Daim Zainuddin - bekas menteri kewangan dan penasihat Mahathir - untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Itulah yang saya katakan di Seremban dan Johor Bahru. Saya maksudkannya.

"Walaupun itu pemerhatian saya, ia masih satu hakikat...Saya yakin (apa) yang saya katakan itu benar," katanya yang merupakan sebahagian kem 'Reformasi 20 tahun' yang diketuai Rafizi Ramli.

Diminta membuktikan dakwaan itu, Abdullah membangkitkan kenyataan Daim sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk Anwar menggantikan Mahathir sebelum PRU akan datang.

"Apa maksud kata-katanya? Saya lihat cara dia dan Azmin, mereka cuba halang konsensus di kalangan kami (HARAPAN) untuk Mahathir berundur selepas dua tahun," katanya lagi ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas reaksi Anwar berhubung dakwaannya itu yang dibuat dalam program kempen pemilihan PKR di Seremban dan Johor Bahru.

Pada 11 Ogos lalu, laman The Malaysian Insight memetik Anwar sebagai berkata, dakwaan Abdullah itu hanyalah pandangan peribadinya dan menggesa semua calon untuk menumpukan soal dasar dan bukannya serangan peribadi ketika berkempen.

Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Mahathir dalang utama rancangan yang dilaksanakan Daim, seperti yang didakwanya.

"Saya tiada komen. Ini tentang Daim dan Azmin," katanya lagi.

Beliau juga mengulang kembali kenyataannya iaitu anggota PKR yang mahu melihat Anwar menjadi perdana menteri perlu mengundi pasukan Reformasi 20 tahun.

"Undi Rafizilah...undi pasukan ini. Apabila Rafizi dan Anwar dalam satu pasukan, proses (Anwar menjadi PM) akan berjalan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS