Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengimbas kembali saat gemilang negara ketika menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.
Ketika berucap dalam acara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia untuk Sukan Asia 2018 yang akan diadakan di Palembang Indonesia, Mahathir menggesa para atlet untuk menghidupkan semangat memburu kemenangan yang ditunjukkan atlet terdahulu.
"Semangat atlet kita pada masa itu, yang memenangi pingat emas antaranya Sapok Biki (tinju), Hidayat Hamidon (angkat berat), Nurul Huda Bahrin (menembak) dan G Saravanan (olahraga).
"(Semangat mereka) Tidak berbelah bahagi untuk mengharumkan nama negara dan seterusnya (meletakkan negara) menduduki tangga keempat secara keseluruhan," katanya di Dataran Perdana, Putrajaya.
Beliau sebelum itu menerima jaket rasmi kontinjen negara daripada pelumba basikal Azizulhasni Awang.
Bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri kabinet, Mahathir turut menyebut tentang jaguh badminton Lee Chong Wei yang tidak dapat menyertai Sukan Asia kali ini.
"Kepada Lee Chong Wei, saya harap dia akan cepat sembuh.
"Walaupun dia tidak dapati mewakili negara kali ini, semangatnya selama ini pastinya membakar kontinjen kita untuk membawa kejayaan lebih besar," katanya.
Beliau kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada chef-de-mission Abdul Azim Mohd Zabidi. Turut hadir adalah Presiden Majlis Olimpik Negara Datuk Mohamad Norza Zakaria.
Bercakap dengan pemberita selepas itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata negara kali ini menyasarkan tujuh pingat emas.
"Jika nasib kita baik, jumlah pingat emas boleh jadi sebelas," katanya.
Dalam edisi kali ini yang akan diadakan pada 18 Ogos hingga 2 September, kontinjen negara yang diwakili 426 atlet dan 147 pegawai akan bersaing dalam 35 daripada 40 acara yang dipertandingkan.