Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan bekas naib canselor tutup kes gangguan seksual disiasat

Kementerian Pendidikan sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) cuba menutup kes gangguan seksual di universiti itu beberapa tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata beliau telah mengarahkan pihak universiti memberikan laporan penuh mengenai kejadian yang berlaku pada 2014 itu melibatkan seorang pensyarah wanita.

"Kementerian melihat gangguan seksual di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai isu serius dan tidak akan bertolak ansur dengan kes-kes seperti itu," katanya kepada Malaysiakini.

Sejak kebelakangan ini, beberapa kementerian menyemak semula aduan gangguan seksual melibatkan kakitangan mereka selepas perkara itu dibangkitkan beberapa anggota Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggota Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menawarkan bantuan guaman terhadap mangsa dan menjamin kerahsiaan serta keselamatan mereka daripada dikenakan tindakan balas.

'Gangguan seksual berterusan'

Berdasarkan beberapa laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pensyarah wanita berkenaan mengadu bahawa pada Jun 2014, seorang timbalan dekan di UPNM melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Dalam laporan pertama, wanita itu berkata beliau bimbang terhadap keselamatannya selepas menerima kiriman teks daripada lelaki itu yang mengandungi "elemen ugutan dan lucah" tetapi tidak memperincikan kandungan mesej berkenaan.

Sepuluh hari kemudian, pensyarah itu membuat laporan kedua dengan mendakwa terus menerima gangguan sehingga mengalami tekanan jiwa.

Beliau kemudian membuat laporan ketiga, mendakwa diancam oleh bekas naib canselor universiti itu agar menarik balik laporan awal semasa pertemuan dengan naib canselor tersebut dan bekas timbalan dekan berkenaan.

Wanita itu juga berkata beliau bimbang mengenai masa depan dan kerjayanya musnah kerana enggan menarik balik dakwaan itu.

Malaysiakini difahamkan pensyarah wanita berkenaan masih bertugas di UPNM. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis yang telah dibuat.

Timbalan Dekan nafi dakwaan

Ketika dihubungi, bekas timbalan dekan berkenaan mengakui dia tertarik kepada wanita tersebut tetapi menafikan telah melakukan gangguan seksual.

Dia mendakwa tidak pernah melakukan ugutan atau perkara tidak wajar terhadap wanita itu sama ada melalui kiriman teks atau ketika berdepan secara peribadi.

"Saya tidak mengancamnya, saya mungkin kurang ajar atau kecewa dengannya tetapi saya tidak mengancamnya. (Mesej saya) tidak mempunyai elemen 'lucah'.

"[...] Dan sejauh yang saya ingat, semasa pertemuan itu, Naib Canselor berkata kita harus menyelesaikan 'elok-elok'. Dia tidak mengancamnya, dia hanya menasihatinya.

"Dan naib canselor tidak memberitahu dia (wanita itu) untuk menarik balik laporan polis," katanya.

Beberapa percubaan untuk menghubungi bekas Naib Canselor itu untuk mendapatkan penjelasan tidak berjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohamad Isa memberitahu Malaysiakini pihak polis telah menjalankan siasatan dan menutup kes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS