Susulan penahanan 17 pegawai dan pengawal keselamatan yang bertuga di Jabatan Perdana Menteri semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyita beberapa lagi aset dipercayai diperolehi hasil penyalahgunaan wang peruntukan pilihan raya umum (PRU) lalu.
Menurut sumber, sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM ialah wang tunai berjumlah RM978,800, lima buah kereta dan 11 motosikal.
Tidak ketinggalan kata sumber itu lagi, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik turut disita SPRM.
"Lima buah kereta terbabit ialah sebuah Volkswagen Golf GTI, tiga Honda dan sebuah Perodua Alza.
"Sebelas motosikal itu pula terdiri daripada lima berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda," katanya.
Menurut sumber tersebut, kesemua kenderaan dan barangan yang disita masih dalam proses penilaian harga.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu.
Katanya pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.