Sebilangan ahli PKR menerima kajiselidik menerusi panggilan telefon yang bertanya sama ada mereka bersetuju dengan pencalonan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden PKR.
Rakaman panggilan telefon (disertakan di bawah) yang diperoleh Malaysiakini memerlukan penerima panggilan menaip "1" atau "2" untuk menyatakan sama ada mereka bersetuju dengan soalan ditanya.
Semakan dengan ketua bahagian PKR di beberapa buah negeri mendedahkan mereka menyedari perkara itu, walaupun hanya sebilangan ahli dikatakan menerima panggilan telefon berkenaan.
Menurut seorang ketua bahagian yang enggan namanya disebutkan, jika seseorang calon memiliki nombor telefon kesemua anggota PKR, ia akan memberi kelebihan yang tidak adil kepada calon berkenaan.
Apa yang pelik, kata ketua bahagian berkenaan, ahli parti yang baru sahaja didaftarkan di bahagiannya pada bulan Jun lalu turut menerima tinjauan telefon berkenaan.
"Dalam borang permohonan anggota yang saya terima, nombor telefon tidak diperlukan daripada pemohon baru," kata ketua bahagian itu.
Dalam satu kenyataannya media hari ini, Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad berkata tinjauan telefon berkenaan melanggar Seksyen 6 Akta Data Perlindungan Peribadi.
"Seseorang tidak boleh memproses data peribadi seorang subjek yang mana subjek tersebut tidak memberikan persetujuan untuk memproses data tersebut, yang mana dalam konteks ini penggunaan nombor telefon anggota PKR," katanya.
Beliau juga berharap calon-calon yang bertanding berkempen dengan cara beretika, selaras dengan prinsip PKR yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
Rafizi nafi langgar undang-undang
Sementara itu, Rafizi dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini berkata pihaknya tidak melakukan kesalahan undang-undang.
"Panggilan itu dibuat menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Invoke sejak 2 tahun lalu.
"Maklumat nombor telefon tidak diambil dari daftar keanggotaan PKR, sebaliknya menggunakan data dalaman di Invoke yang memang telah ada sejak tahun 2016 lagi.
"Tidak ada pihak dari kalangan pimpinan PKR atau Pakatan Harapan sebelum ini yang menuduh saya (dan Invoke) melanggar undang-undang.
"Mereka dimaklumkan bahawa data yang kami perolehi adalah melalui petisyen yang dianjurkan, maklumat dari syarikat pemasaran swasta dan pangkalan data yang dibina oleh lebih 40,000 sukarelawan Invoke," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PRK, Datuk Saifuddin Nasution ketika ditemui di ibu pejabat PKR hari ini, berkata Invoke boleh memanfaatkan data anggota PKR yang diperoleh ketika pilihan raya umum ke-14 lalu.
"Invoke ada data pengundi seluruh negara. Anggota PKR ada 841,000 ahli yang layak (memilih), kemungkinan mereka "subset" yang invoke ada data mereka
"Invoke mempunyai data mengenai B40 (dan program) e-Kasih. Itu core business dia. Itu perkara yang mereka boleh manfaatkan," kata Saifuddin.