Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM18b wang GST 'dirompak': Khairy akan buat laporan polis, SPRM
Diterbitkan:  Aug 9, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 7:06 AM

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan BN telah 'merompak' bayaran balik GST.

Beliau berkata siasatan dalaman - seperti yang dicadangkan Lim - tidak memadai untuk dakwaan serius seumpama itu.

"Memandangkan Lim tidak menaruh minat terhadap apa-apa (siasatan) pada masa ini melainkan inkuiri dalaman, saya mahu membawa perkara ini bagi kepentingan awam.

"Hari ini dan esok, saya akan membuat laporan polis dan SPRM terhadap bekas pegawai tinggi Kementerian Kewangan ketika dakwaan itu berlaku. Ia bagi membolehkan siasatan terbuka dibuat untuk memastikan kebenaran pendedahan Lim," katanya di Twitter, hari ini.

Dua hari lalu, Lim ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat mendakwa kerajaan BN 'merompak' bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Beliau sekali lagi membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam dengan berkata audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati sejumlah RM18 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST.

Ketika menjawab balasan seorang pengguna Twitter, Khairy berkata laporan itu juga akan dibuat terhadap menteri kewangan ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan kemudian, beliau berkata akan membuat laporan pada pukul dua petang ini di ibu pejabat polis daerah Sentul.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS