ADS
mk-logo
Berita
Pejabat AG kemuka rayuan batal izin ikat jamin Jamal

Pejabat Peguam Negara (AG) mengemukakan rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos diikat jamin.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat AG, Mohd Hanafiah Zakaria, memberitahu hak itu kepada Malaysiakini hari ini.

"Ya saya boleh sahkan kami sudah memfailkan notis rayuan," katanya.

Bagaimanapun Mohd Hanafiah tidak mendedahkan bila notis tersebut dikemukakan kepada mahkamah.

Dengan tindakan itu permohonan mengenainya dijangka akan didengar di Mahkamah Rayuan.

ADS

Mengikut undang-undang pihak pendakwa diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan ke atas sebarang keputusan dibuat mahkamah tinggi.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa membenarkan Jamal - yang turut mengetuai kumpulan Baju Merah - diikat jamin sementara menunggu kesnya dibicarakan.

Mohd Yazid menetapkan Jamal diikat jamin dengan nilai sebanyak RM20,000 selepas bersetuju dengan hujah peguam bela Jamal, Tan Sri Shafee Abdullah.

Kata Shafee hakim Mahkamah Majistret Ampang tidak mempunyai bidang budi bicara untuk menolak permohonan ikat jamin Jamal berdasarkan tuduhan yang dikenakan kepadanya.

Jamal - yang terkenal dengan pelbagai aksi pegunnya itu - serta empat yang lain berdepan dua tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dua premis perniagaan di Taman Kosas, Ampang pada 29 Dis 2016.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu Jamal juga dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan polis.

Ekoran laporan mengenai kebenaran diberi hakim mahkamah tinggi itu dua peguam Baljit Singh Sidhu dan Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar meminta Pejabat AG membuat rayuan bagi membatalkannya.

Kata peguam terbabit ada asas yang kuat untuk pendakwa membuat rayuan kerana Jamal sebelum ini pernah melarikan diri ke luar negara sehingga polis terpaksa mendapatkan bantuan dari pihak berkuasa Indonesia bagi membawanya pulang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS