Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Bermula dengan ungkapan "kepala bapak" oleh seorang anggota parlimen (MP), suasana dalam Dewan Rakyat pagi tadi menjadi semakin panas sehingga salah seorang daripada mereka memilih untuk mencarut.

Ia berlaku selepas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (BN-Larut) yang bertanya mengenai pelaburan langsung luar (FDI) ke Malaysia.

RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong) kemudian bangun untuk mengemukakan soalan tambahan melibatkan 1MDB.

Sesuai dengan kelazimannya yang gemar mengundang kemarahan MP lain, dia 'mengumpan' dengan perkataan "kepala bapak" apabila ditegur Hamzah.

Hamzah yang juga bekas menteri itu meminta Rayer menarik balik kenyataan tersebut kerana bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bersetuju dengan Hamzah dan meminta Rayer menarik balik kenyataan tersebut.

Ketika beberapa MP bercakap pada waktu yang sama, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) didengar mengeluarkan perkataan "p*****k" dan didengari Mohamad Ariff walaupun ketika itu mikrofon tidak dihidupkan.

Tak ada faedah

Ia jelas menyebabkan kemarahan Mohamad Ariff namun beliau berjaya mengawal keadaan.

"Itu saya dengar. Itu paling paling tidak bersopan ya. Tarik balik. Kalau tidak, saya suruh keluar," kata Mohamad Ariff.

Ketika tidak ada MP yang bangun mengaku atau mahu menarik balik kenyataan tersebut Mohamad Ariff terus menegaskan agar ia dibuat segera.

Katanya perkataan kesat sebegitu tidak wajar sama sekali dilafazkan di Dewan Rakyat.

"Saya mahu supaya tarik balik perkataan kesat itu.

"Ini (perkataan mencarut itu) lebih dahsyat daripada kepala bapak.

"Ini tidak memberikan apa-apa faedah kepada dewan yang mulia ini. Tarik balik," katanya.

Abdul Rahman kemudian berdiri dan menarik balik kata-katanya.

"Oleh kerana kita nak bagi pengajaran kepada dia (Rayer), tak apa, saya tarik balik," katanya.

Hamzah kemudian meminta speaker mengarahkan Rayer berjanji untuk tidak lagi menyebut ungkapan seperti "kepala bapak" digunakan dalam Dewan Rakyat.

Ia dipersetuju Rayer namun bersyarat. Katanya, dia tidak akan mengulangi perbuatan sebegitu jika ucapannya tidak diganggu.

Walaupun kedua-dua pihak kemudian terus berbalah, Mohamad Ariff meminta Rayer menghabiskan soalannya agar dapat dijawab oleh Ong.

Kegagalan penyokong kerajaan dan pembangkang menamatkan kekecohan itu mendorong Mohamad Ariff mematikan seketika mikrofon kedua-dua pihak semasa sesi soal jawab berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS