Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengulas isu kaum dan agama yang dimainkan Umno, seperti amaran ancaman 'DAP Kristian'.
"Ini merupakan existential dilemma (dilema kewujudan) Umno sekarang. Ada yang terus guna retorik DAP Kristian dan lain-lain. Tapi ada juga yang masih waras," kata Khairy pada suatu hantaran Twitter malam ini.
Semalam, ketika penghujung kempen PRK Sungai Kandis, Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman menggesa pengundi tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh "Kristian".
Tajuddin juga mendakwa bahawa ahli politik Kristian dalam DAP menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk menyebarkan agama mereka.
Antara yang dinamakannya ialah pemimpin DAP Lim Guan Eng, Anthony Loke, Teresa Kok, Hannah Yeoh dan Tony Pua.
Ditanya bagaimana Khairy, yang dikenali sebagai KJ akan mengatasi masalah dilema Umno, bekas ketua pemuda parti itu berkata beliau akan cuba mengambil ahli politik baru dengan pandangan dunia yang progresif dan menganjurkan pendidikan semula politik yang komprehensif kepada anggota sedia ada.
Khairy juga menjelaskan apa yang penting adalah kepimpinan Umno dan berkata :"Itulah sebabnya saya bertanding presiden parti."
Beliau kalah dalam usahanya menjadi presiden Umno pada Jun lalu kepada Ahmad Zahid Hamidi.