KHUTBAH | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru sidang Jumaat agar mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan menjalankan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar yang semakin kritikal dari hari ke hari.
Jakim dalam teks khutbah Jumaat hari ini berkata manusia dan alam sekitar sememangnya saling memerlukan dan perlu wujud dalam keadaan seimbang.
"Sesungguhnya hubungan manusia dan alam sekitar sememangnya rapat, malah kedua-duanya saling memerlukan. Namun, sekiranya satu musnah, maka sengsaralah pihak yang satu lagi.
"Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa berusaha meningkatkan usaha menjaga dan memulihara alam sekitar serta memastikan corak pengurusan kehidupan yang mampan berhubung isu alam semula jadi, sekali gus menyumbang ke arah kesejahteraan planet ini untuk diwarisi generasi masa kini dan generasi akan datang," katanya.
Bagaimanapun, khutbah Jakim membangkitkan persoalan, sejauh mana rasa tanggungjawab memelihara alam sekitar itu ada dalam diri manusia.
Katanya, perkara itu dapat dilihat daripada pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia sekarang.
Jelas khutbah, kerosakan itu berpunca daripada sikap manusia sendiri, seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan secara terus ke laut atau sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal dan melakukan pembakaran terbuka.
Iltizam bersama-sama
"Pelbagai aktiviti seumpama ini akan memberi kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan cuaca tidak menentu yang pasti menjejaskan kehidupan manusia.
"Dan jelas pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia adalah di sebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri,” teks khutbah itu dipetik.
Jakim di akhir teks rasmi juga mengingatkan umat Islam agar sama-sama beriltizam untuk memastikan negara ini terus sihat dan sejahtera dengan keindahan alam sekitarnya tetap terpelihara.
"Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi ia adalah hak milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.
"Berdasarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Rasulullah adalah untuk sekalian alam (yang meliputi manusia, haiwan dan alam seluruhnya), maka apa sahaja makhluk di alam ini wajib diberi hak kehidupan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya," katanya.
Namun begitu, apa yang lebih penting adalah langkah penjagaan alam sekitar yang bermula daripada diri sendiri, keluarga, seterusnya komuniti setempat dengan bersama-sama mengamalkan gaya hidup bersih.