Selepas dipenjarakan 27 hari, pemimpin kontroversi Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos menuntut “reformasi penjara”, antaranya termasuk kebenaran tahanan menghisap rokok .
Katanya, larangan itu menyebabkan tahanan mencari jalan lain yang berbahaya, termasuk menelan pemetik api dan beg plastik berisi tembakau.
Perkara itu boleh menyebabkan kematian jika beg plastik itu pecah di dalam perut, kata Jamal lagi yang melarikan diri dari tahanan polis dan ditangkap di Indonesia sebelum ini.
Jamal mencadangkan tahanan dibenarkan merokok sehari sekali atau ketika menerima lawatan.
“Objektifnya untuk mengurangkan (penyeludupan),” katanya yang menjangkakan kemungkinan dikritik orang ramai kerana menyuarakan perkara itu.
Jamal juga menyifatkan pengalamannya ditempatkan di 'Tawakal' – blok terbaik di Penjara Sungai Buloh – sebagai tempat paling buruk di dunia.
Dia berkata perasaan masuk ke penjara seperti masuk ke lubang kubur.
Jamal ditangkap selepas BN gagal mempertahankan penguasaan 61 tahunnya, berkaitan beberapa pertuduhan.
Dia melarikan diri ke Indonesia tetapi berjaya diberkas di Jakarta dan dihantar pulang untuk berdepan pengadilan.
Bulan ini, dia dijadual hadir ke mahkamah pada 1o Ogos ini bagi prosiding kes pencerobohan.