Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Seragam pramugari boleh patuh syariah jika ikut kriteria'

PARLIMEN | Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tiada masalah jika pramugari beragama Islam memilih pakaian yang menepati kehendak syariah, selagi ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan.

Katanya, kriteria yang ditetapkan syarikat penerbangan adalah seragam perlu membolehkan pekerja menjalankan tugas ketika berlaku kecemasan dan sesuai dengan imej korporat dan identiti Malaysia.

"Seragam baju kebaya (oleh Malaysia Airlines Berhad) mencerminkan budaya Malaysia yang menunjukkan layanan mesra kepada penumpang," katanya ketika sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Isu seragam pramugari sekali lagi ditimbulkan pada sesi perbahasan Parlimen kali ini.

Ia dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) ketika perbahasan titah diraja pada 25 Julai lalu.

Ketika itu, beliau antara lain berkata ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.

Akan dibincangkan

Hari ini, Siti Zailah kelihatan tidak gembira dengan jawapan Loke dan berkata telah mendengar perkara sama sejak dulu.

"Saya sudah dengar jawapan seperti ini berbelas tahun - tiga penggal di Dewan Rakyat dan dua penggal di Dewan Negara. Jawapan sama, tiada perubahan baru.

"Apakah pakaian skirt singkat yang mencolok mata itu menjamin keselamatan?" soalnya.

Loke menjawab: "Kita sedar ini bukan dasar baru dan kita tiada perancangan untuk ubah dasar sedia ada. Pakaian pramugara dan pramugari tertakluk kepada (syarikat) penerbangan."

Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) bertanya sama ada kerajaan akan menggesa Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membenarkan pramugari beragama Islam untuk memakai tudung ketika bertugas.

Menjawab soalan itu, Loke berkata beliau akan berbincang dengan pengurusan MAB tetapi menjelaskan setakat ini belum ada apa-apa perubahan daripada peraturan sedia ada.

"Berkenaan dengan isu itu saya akan bincang dengan pihak pengurusan MAB (tetapi) setakat ini belum ada apa-apa perubahan.

"Perkara ini perlukan perbincangan dengan pihak pengurusan," katanya lagi.

'Jangan tengok kalau seksi'

Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) pula mempersoalkan seragam pramugari syarikat penerbangan negara ini yang menurutnya lebih mencolok mata berbanding syarikat penerbangan luar negara.

"Kalau kita lihat pakaian pramugari Malaysia terlalu menjolok mata berbanding pramugari syarikat penerbangan luar negara di barat, di Amerika Syarikat, kita lihat mereka pakai seluar, berbanding (seragam) seksi yang dipakai (pramugari) syarikat penerbangan di Malaysia," katanya.

Mengulas kenyataan itu, Loke meminta sesiapa yang merasakan seragam pramugari terlalu mencolok mata untuk 'mengalihkan pandangan' mereka.

"Saya tiada komen kerana ia perkara subjektif. Kalau Yang Berhormat rasa itu menjolok mata, jangan pandang pramugari tersebut," katanya lagi.

Jawapan itu mengundang ketawa daripada anggota parlimen lain dalam Dewan Rakyat, tetapi tidak bagi Che Abdullah.

"Saya rasa menteri kena jawab dengan lebih bertanggungjawab," katanya.

"Saya menjawab dengan tanggungjawab," kata Loke sebelum beralih ke topik lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS