Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian siasat tuduhan rasuah, gangguan seks babitkan pegawai

Kementerian Pendidikan sedang menyiasat dakwaan rasuah dan gangguan seksual melibatkan pegawai-pegawai tertinggi dalam sebuah jabatan di kementerian itu.

Tuduhan berkenaan dibuat melalui surat tidak bernama yang dihantar kepada kementerian itu dan turut diperoleh Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengesahkan perkara itu kini sedang disiasat.

"Perkara ini sudah menjadi perhatian kita, pegawai saya sedang menyiasat perkara itu sama ada ia benar atau tidak," katanya kepada Malaysiakini.

Penulis tanpa nama itu mendakwa seorang pengarah jabatan dan dua timbalannya terbabit dalam salah laku tersebut.

Bagaimanapun, surat berkenaan tidak menyatakan contoh yang jelas untuk menyokong tuduhan berkenaan.

Individu tersebut mendakwa seorang pengarah melakukan gangguan seksual terhadap pegawai-pegawai wanita melalui kata-kata dan perbuatan serta mendakwa turut menjadi mangsa.

Sementara itu, kedua-dua timbalan pengarah berkenaan didakwa terbabit dalam perolehan tender dan sebutharga bagi program kementerian.

Ini termasuk mambabitkan sebuah syarikat swasta yang  mempromosikan inisiatif 1BestariNet dan Frog Virtual Learning (VLE) di sekolah.

"Pengarah itu tidak tahu apa-apa (mengenai tindakan timbalan pengarah) - dia hanya mengganggu wanita," kata surat berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khaled untuk mendapatkan penjelasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS