Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MRT3 dipertimbang semula bila kewangan negara mengizinkan'

Putrajaya akan mempertimbangkan kemungkinan untuk menghidupkan semula projek MRT3 jika keadaan kewangan negara mengizinkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Ia pembatalan. Saya sudah katakan dengan jelas. Batalkan sekarang (tapi kerajaan) akan mempertimbangkannya semula apabila keadaan kewangan negara bertambah baik," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Loke memberi gambaran kemungkinan menghidupkan semula projek itu dan projek berkenaan juga dilihat seperti dalam 'penangguhan' ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu menarik perhatian kerana kerajaan sebelum ini mengumumkan pembatalan projek mega Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, namun kemudian mengubah statusnya sebagai ditangguhkan.

"Rasional pembatalan MRT3 mempunyai kaitan dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan hutang negara," kata Loke kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat hari ini.

"Penangguhan projek MRT3 memberi peluang kepada kita untuk mengkaji semula keutamaan bajet, di mana kerajaan akan memberi fokus baharu kepada penambahbaikan perkhidmatan bas serta pembangunan infrastruktur bukan sahaja di sekitar Lembah Klang namun di seluruh Malaysia selaras dengan manifesto kerajaan untuk menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan pengangkutan awam," tambah Loke.

Khairy kemudian berkata, "Terima kasih atas penjelasan bahawa ia ditangguhkan dan bukannya dibatalkan."

Mengulas lanjut, tambah Khairy, MRT3 penting dalam mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Menjawab kenyataan itu, Loke berkata, terpulang kepada kabinet untuk memutuskan bila projek berkenaan akan dihidupkan semula.

"Sebarang keputusan besar sebegini, perlu mendapatkan keputusan kabinet.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan rancangan kerajaan untuk membatalkan projek MRT3 pada 30 Mei lalu.

MRT3 sebelum ini dianggarkan akan menelan kos antara RM40 bilion sehingga RM50 bilion.

Projek berkenaan bertujuan menyambung laluan MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang yang sudah siap dengan MRT2 yang dalam pembinaan yang beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS