Berikutan aduan mengenai tandas kotor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong mengadakan lawatan dan mendapati bangunan mahkamah juga kelihatan mengalami masalah struktur.
Beliau juga mendapati sejumlah 84 bilik mahkamah tidak mempunyai perkhidmatan penyaman udara yang mencukupi.
Dalam lawatan sulungnya ke mahkamah sejak memegang portfolionya sekarang, Liew berkata beliau kecewa kerana mendapati "keretakan yang sangat serius" di banyak bahagian bangunan.
Kubah utama dan siling tingkat atas bangunan mahkamah diperhatikan bocor, katanya.
"Saya tidak mahu bencana besar melanda mahkamah ini, (saya tidak mahu mahkamah) berkompromi dalam keselamatan semua orang di bangunan ini.
Laporan Istana Kehakiman
"Oleh itu, saya telah mengarahkan pasukan pengurusan Istana Kehakiman (POJ) untuk segera memberi saya laporan (mengenai masalah struktur bangunan mahkamah) dan kemudian saya akan mengemukakannya dan memberitahu kabinet.
"Dan saya akan meminta pembiayaan daripada kementerian kewangan untuk memastikan masalah struktur bangunan diselesaikan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas melakukan pemerhatian.
Liew juga meminta jurutera untuk memeriksa sepenuhnya bangunan itu.
Malaysiakini mengamati keretakan pada beberapa tiang di mahkamah.
Sebelum ini, bangunan mahkamah itu menunjukkan tanda-tanda amaran kemungkinan jubin boleh jatuh dari bumbung bangunan.
Kompleks mahkamah itu siap pada tahun 2007 dengan kos pembinaan sebanyak RM290 juta. Jabatan Kerja Raya (PWD) bertanggungjawab untuk menyelenggara bangunan tersebut.
Semasa pemeriksaan, Liew mendapati kerosakan sistem penghawa dingin berpusat di mahkamah telah menjejaskan 84 bilik mahkamah, di mana unit penghawa dingin mudah alih telah digunakan.
"Saya perhatikan bahawa penghawa dingin di mahkamah ini sangat mengejutkan.
"(Ini) tidak memberi keselesaan kepada para hakim, peguam, litigan dan orang awam yang datang ke mahkamah. Perkara ini tidak sihat dan tidak kondusif untuk mahkamah berfungsi.
"Saya telah mengarahkan pengurusan POJ untuk menyediakan unit penyaman udara mudah alih dengan segera," katanya, sambil menambah bahawa "bilik mahkamah yang kritikal" akan diberi keutamaan.
Jika perlu, tamat khidmat kontraktor
Tandas di kompleks mahkamah sebelum ini tidak dibersihkan selama beberapa minggu selepas tukang cuci melancarkan mogok dan mendakwa mereka belum dibayar sejak Ramadan.
Hari ini, Liew mengecam kontraktor pembersihan yang bertanggungjawab kerana gagal membekalkan 120 tukang cuci ke mahkamah dan dengan itu melanggar terma dan syarat kontrak. Kontraktor yang dipersoalkan ialah syarikat Perfect Three Solutions Sdn Bhd.
"Hari-hari tertentu mereka hanya menyediakan tujuh pekerja, walaupun hakikatnya pembayaran telah dibuat dengan sewajarnya kepada kontraktor.
"Jadi saya secara peribadi mendapati ini benar-benar tidak dapat diterima dan pelanggaran asas terma dan syarat kontrak.
"Saya fikir ini perlu dikaji dengan segera dan jika (khidmat kontraktor) perlu ditamatkan, ia perlu dilakukan kerana terdapat pelanggaran asas (kontrak)," katanya pada sidang media yang sama.