Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan tiada lagi sekatan kepada mana-mana ahli daripada parti lain untuk menyertai mereka.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sesiapa sahaja kini boleh mengisi borang keahlian BERSATU dan tidak perlu menunggu lama untuk disahkan sebagai ahli.
"Sekarang kita tak payah idah lagi, siapa nak masuk kita alu-alukan, kita buka seluas-luasnya. Tak perlu lagi menunggu sehingga dua tiga bulan.
"Ini kerana kita sedar matlamat kita sama, perjuangan kita sama," katanya ketika berucap di Program Hijrah 2.0 di Machang, Kelantan, hari ini.
Hadir sama Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Kamaruddin Md Noor dan Timbalan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Sazmi Miah.
Pada program tersebut seorang bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail dan lebih 500 bekas pemimpin akar umbi di Kelantan mengumumkan keluar Umno dengan menyerahkan deklarasi Hijrah 2.0 kepada Mukhriz.
Sementara itu Mukhriz yang juga menteri besar Kedah berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai ahli Umno akan menyertai BERSATU.
Menurutnya, ia berikutan ahli Umno kini sudah hilang keyakinan terhadap parti berkenaan terutama selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
"Pada masa yang sama saya tengok Umno kini terdesak dan melakukan pelbagai perkara bagi menghalang ahli mereka berhijrah menyertai parti lain walhal mereka tidak lagi berkuasa di peringkat negeri ataupun persekutuan," katanya.
Mukhriz juga berkata masih ramai ahli Umno yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara, namun mereka dimomokkan bahawa pebagai pendedahan mengenai penyelewengan BN merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata.
"Jadi mereka tak tergerak untuk buat keputusan awal tetapi lepas itu baru mereka sedar terutama selepas ini akan ada pendedahan di mahmamah mengenai penyelewengan yang dilakukan (bekas Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Ditanya kemungkinan BERSATU akan menjadi Umno 2.0 berikutan penghijrahan ramai ahli Umno ke dalam parti itu, Mukhriz berkata pihaknya tetap akan mengadakan tapisan terhadap mereka yang berhasrat menyertai parti itu.
"Adalah tokoh-tokoh tertentu seperti Pekan (Najib) dan kroni-kroninya yang kita rasa tak sesuai kita akan tolak permohonan mereka," jelasnya.